Hampir 30 juta penduduk di China kena 'lockdown'

Anggota polis lengkap memakai sut perlindungan diri di kawasan yang dikenakan langkah 'lockdown' di Shanghai. - Foto AFP
Anggota polis lengkap memakai sut perlindungan diri di kawasan yang dikenakan langkah 'lockdown' di Shanghai. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Hampir 30 juta penduduk di seluruh China berdepan langkah 'lockdown' pada Selasa, susulan lonjakan kes jangkitan luar biasa dalam skala yang tidak pernah dilihat sejak pandemik Covid-19 bermula di bandar Wuhan pada akhir 2019.

Pada Selasa, Beijing merekodkan kira-kira 5,300 kes baharu yang menyaksikan peningkatan lebih dua kali ganda berbanding sehari sebelum itu, berpunca daripada penularan varian Omicron yang menyebabkan negara itu kini berdepan krisis pandemik terburuk sejak lebih dua tahun lalu.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) memaklumkan, kira-kira 13 bandar dikenakan sekatan penuh, manakala beberapa kota lain berdepan ,lockdown' separa setelah negara itu pernah melaksanakan langkah sekatan ketat sebagai strategi ‘sifar Covid-19’, namun gagal mengekang penyebaran wabak tersebut dalam kalangan komuniti.

Ketika ini, wilayah timur laut Jilin yang bersempadan dengan Korea Utara adalah yang paling teruk terjejas dengan lebih 3,000 kes baharu dilaporkan, selain penduduk di beberapa bandar lain termasuk ibu kota Changchun yang mempunyai populasi sembilan juta penduduk dikenakan perintah duduk di rumah.

Gabenor Jilin turut berikrar untuk melakukan sehabis baik bagi mencapai komuniti sifar Covid dalam tempoh seminggu ketika mesyuarat tergempar pada malam Isnin.

Bandar Shenzhen yang merupakan hab teknologi di wilayah Guangdong dan berpopulasi 17.5 juta penduduk melaksanakan 'lockdown' bermula semalam, yang menyebabkan kebanyakan kilang terpaksa menutup operasi.

Sampel swab diambil daripada salah seorang penduduk di Beijing. - Foto AFP
Sampel swab diambil daripada salah seorang penduduk di Beijing. - Foto AFP

Beberapa bandar lain termasuk Shanghai telah menutup sebahagian kawasan kejiranan dan bangunan selepas pihak berkuasa cuba untuk meminimumkan gangguan kepada aktiviti harian penduduk.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Selasa menandakan hari keenam berturut-turut negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu mencatatkan lebih 1,000 kes baharu.

Selain itu, data penjejakan penerbangan juga menunjukkan puluhan penerbangan domestik di lapangan terbang di Beijing dan Shanghai terpaksa dibatalkan.

“Penularan semula wabak dan sekatan yang diperbaharui terutamanya penutupan di Shenzhen akan membebankan pengguna dan mengakibatkan gangguan bekalan dalam tempoh terdekat,” ujar Tommy Wu di Oxford Economics.

Menurutnya, situasi tersebut akan menjadi ‘cabaran’ kepada China untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kira-kira 5.5 peratus.

Sementara itu, pakar perubatan terkemuka, Zhang Wenhong telah mencadangkan prospek bagi melembutkan strategi ‘sifar Covid’ dalam menghadapi ancaman Omicron, namun beliau memberi amaran sebarang tindakan melonggarkan ujian saringan dan penutupan adalah mustahil untuk tempoh jangka pendek.

Sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung penularan wabak itu, pihak berkuasa kesihatan di Beijing tidak menolak kemungkinan pelaksanaan sekatan lebih ketat. - AFP