Hilang sifat toleransi, tiada kesedaran sivik punca pencemaran sisa kimia

Melalui sampel air Sungai Kim Kim yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar terdapat lapan jenis bahan kimia yang ditemui.
Melalui sampel air Sungai Kim Kim yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar terdapat lapan jenis bahan kimia yang ditemui.
A
A
A

BARU-BARU ini, negara digemparkan dengan kejadian pencemaran udara akibat daripada sisa buangan bahan kimia di Sungai Kim Kim Pasir Gudang.

Kejadian mula dikesan pada 7 Mac yang lalu apabila sebilangan pelajar SK Taman Pasir Putih mengalami simptom pening kepala, muntah-muntah, sawan dan pengsan akibat terhidu sisa toksik terbebas di sungai berdekatan dan murid-murid sekolah tersebut diarahkan untuk pulang dengan serta-merta.

Kejadian yang berpunca daripada pihak tidak bertanggungjawab ini berlarutan apabila sekolah tersebut dibuka semula dan gejala merebak ke sekolah sekitar Pasir Gudang dipercayai racun daripada gas tersebut dibawa oleh udara.

Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan penutupan kesemua 111 buah sekolah di daerah Pasir Gudang bermula pada Rabu 13 Mac lalu. Melalui sampel air Sungai Kim Kim yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) terdapat lapan jenis bahan kimia yang ditemui iaitu Acrylonitrile, Metana, Limonen, Benzene, Acrolein, Toulene, Xylene and Hidrogen Klorida.

Berdasarkan laporan beberapa sumber pakar kesihatan yang sahih, Acrylonitrile dan Metana merupakan antara gas yang merbahaya dan boleh membawa maut sekiranya ia terdedah dalam tempoh tertentu kepada orang awam.

Menurut laporan, angka mangsa kejadian pencemaran udara Pasir Gudang dianggarkan seramai 2,775 orang dan daripada angka tersebut membuktikan betapa kritikalnya keadaan akibat daripada gas bahan kimia yang terbebas ini.

Hashtag #prayforpasirgudang diwujudkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat negara ini. Namun begitu pada ketika kes di Pasir Gudang masih lagi dalam penyelesaian dan hangat diperkatakan, berlaku pula kes pencemaran sisa buangan bahan kimia di Sungai Klang, Selangor.

Dipercayai sisa bahan kimia tersebut dibuang melalui longkang sebelum mengalir ke Sungai Klang. Namun begitu, keputusan sisa bahan kimia di sungai tersebut masih dalam siasatan oleh pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Artikel Berkaitan:

Dua kejadian pencemaran ini merumuskan situasi yang agak membimbangkan dalam kalangan masyarakat kita. Ini membuktikan wujudnya sikap tidak bertanggungjawab, penting diri serta tiada kesedaran sivik terutama tentang pembuangan sampah oleh si pelaku tanpa memikirkan kesan panjang terhadap kesihatan serta pergolakan perasaan ataupun trauma yang bakal berlaku dalam kalangan penduduk setempat.

Di manakah hilangnya sifat toleransi dan perikamusiaan masyarakat kini? ini sama sekali tidak melambangkan masyarakat majmuk dan harmoni yang sepatutnya wujud demi negara yang kian membangun.

* Penulis ialah Pensyarah, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang

#rencanasinar