Tiada kerjasama walaupun ditawar kerusi, jawatan: Pas

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas tidak boleh bertaawun (bekerjasama) dengan mana-mana parti bagi tujuan yang salah dan terpesong daripada prinsipnya walaupun ditawarkan kerusi, jawatan, harta dan lain-lain.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas menentang segala keburukan dan kemungkaran seperti rasuah, salah tadbir urus dan salah laku yang berleluasa.

Menurutnya, politik wang dan pangkat diharamkan dalam parti itu maka ahli yang setia akan tetap beristiqamah dan bersabar, walaupun tidak mendapat sokongan masyarakat yang tidak memahami.

“Pas berwawasan keredaan ALLAH daripada dunia sehingga akhirat, bukan sekadar mencari publisiti bagi memenangi pilihan raya dan mendapat kerusi atau jawatan tanpa prinsip dan akhlak.

“Lebih-lebih lagi jika membisu terhadap kemungkaran dan perpecahan yang memburukkan keadaan umat dengan menipu masyarakat umum.

“Pas dan pendukungnya yang setia, sedia bersabar walaupun memakan masa yang panjang,” katanya di Facebook pada Selasa.

Tambah beliau, mereka yang tidak ikhlas dan istiqamah dalam perjuangan pas akan terkeluar atau dikeluarkan daripada parti berkenaan.

Ujar Utusan Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu, Pas berusaha ke arah perpaduan umat Islam dan umat manusia, termasuk mereka yang bukan Islam dalam masyarakat majmuk.

Artikel Berkaitan:

“Melalui Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan lain-lain.

“Hal ini adalah bagi menegakkan konsep keadilan kepada semua dan menentang segala salah laku dan salah tadbir urus,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan tiada siapa atau mana-mana pihak diizinkan untuk merungkai dasar penubuhan Pas dengan akal cetek sama ada dari dalam atau anasir luar.

Menurutnya, Pas teguh dan tegas dalam pelaksanaan disiplin jemaah yang dilaksanakan.

“Kita wajib mewujudkan kumpulan Islam yang beristiqamah di atas prinsip aqidah, syariah, dan akhlak supaya dipelihara oleh ALLAH laksana bahtera yang kukuh dan betul perjalanannya yang berprinsip.

“Sesiapa yang mencuba untuk mengubah hala tujunya atau menebuknya bagi ditenggelamkan, nescaya akan dicampak keluar atau tercampak sendiri dengan kehendak ALLAH yang sentiasa memelihara agama-Nya (Islam),” katanya.