Kekurangan bekalan gula hanya sementara

Jegan
Jegan
A
A
A

GEORGETOWN - Kekurangan bekalan gula di Pulau Pinang adalah disebabkan pembelian panik dalam kalangan pembeli selepas isu berkaitan bekalan tersebut terputus di beberapa negeri.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan berkata, memang benar berlaku gangguan bekalan gula di peringkat kedai runcit namun masalah tersebut sedang diselesaikan secara berperingkat.

"Memang benar ada gangguan di peringkat peruncit namun tidak di pasar raya. Bekalan di pasar raya tiada masalah. Hal ini berlaku kerana bekalan di peringkat pengilang juga kurang.

"Kita sedang menyelesaikan masalah ini secara berperingkat dan dijangka minggu depan, tiada lagi gangguan bekalan gula di peringkat peruncit. Masalah ini dalam tindakan kita ketika ini. Perkara ini berlaku disebabkan pembelian panik oleh pembeli.

"Bagaimanapun, ia hanya bersifat sementara dan akan ditangani KPDN. Kita menasihatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan pembelian bersyarat kepada pembeli," katanya ketika dihubungi Sinar Harain pada Khamis.

Beliau berkata, KPDN Pulau Pinang telah menggerakkan Dedicated Direct Wholesaler (DDW) atau pemborong terpilih untuk bekerjasama agar peruncit boleh mendapatkan bekalan gula secara terus daripada DDW yang dilantik oleh KPDN Pulau Pinang.

"Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan pengilang, Malayan Sugar Manufacturing Co Bhd dan mereka bersetuju untuk menambah 30 peratus pembekalan gula kepada DDW yang dilantik KPDN agar pengguna mudah untuk mendapatkan gula di seluruh Pulau Pinang," katanya.

Jegan menambah, sehingga kini, KPDN Pulau Pinang telah menjalankan 396 pemeriksaan di pasar raya, 240 pemeriksaan di bawah Ops Pantau (Bekalan), 72 pemeriksaan di bawah Ops Bekalan, 36 naziran ke atas pemborong gula, 11 naziran bekalan gula dan tujuh pemeriksaan ke atas sektor industri yang menggunakan gula.

"Semakan dibuat di dalam sistem e-aduan mendapati sehingga hari ini, tiada aduan yang diterima berkenaan gangguan bekalan gula serta kenaikan harga gula daripada pengguna.

"Kita berharap agar pengguna dapat menyalurkan maklumat sekiranya berlaku gangguan bekalan gula di mana-mana kawasan di seluruh Pulau Pinang," katanya.