Farah Ann harap anjur kejohanan sendiri tahun depan

Farah Ann - Foto AFP
Farah Ann - Foto AFP
A
A
A

FARAH Ann Abdul Hadi yang mengumumkan persaraannya daripada sukan gimnastik artistik pada Sabtu lepas, bercadang untuk memperkenalkan Piala Farah Ann bagi membolehkan gimnas muda tempatan mempamerkan bakat mereka.

Kejohanan yang diharapkan dapat dianjurkan awal tahun depan, adalah sebahagian daripada rancangan persaraannya bertujuan mencungkil bakat tempatan baharu dan membantu memupuk mereka menjadi Olimpian masa depan.

"Saya tahu gimnastik semakin dikenali dan berharap bertemu dengan kanak-kanak serta ibu bapa mereka di seluruh negara untuk berkongsi pengetahuan.

"Mudah-mudahan, saya dapat menganjurkan kejohanan seperti Biles Invitational di Amerika Syarikat, yang dimiliki oleh juara Olimpik Rio 2016 Simone Biles. Insya-Allah, Piala Farah Ann akan sampai ke peringkat antarabangsa, siapa tahu,” katanya ketika sidang akhbar pada Isnin.

Menurut Farah Ann, beliau meminta bantuan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) tentang cara mengendalikan pertandingan dan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai perkara berkaitan kerjasama dan penajaan.

Selain pertandingan, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu juga bercadang mengadakan kem gimnastik pada akhir tahun ini, yang mana beliau berharap dapat mencurahkan ilmu dalam sukan itu kepada generasi muda.

Bagaimanapun, Farah Ann mengakui belum terlintas untuk terlibat dalam bidang kejurulatihan kerana beliau lebih berminat untuk menjadi juri gimnastik artistik antarabangsa.

"Untuk menjadi jurulatih, pertama perlu melakukannya secara sepenuh masa dan kedua perlu jadi ‘ibu bapa’ kepada atlet. Saya rasa belum mampu untuk melakukannya buat masa ini,” kata atlet berusia 27 tahun yang sedang mengikuti kursus penjurian gimnastik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Farah Ann berkata, beliau gembira kerana mencapai hampir segala-galanya dalam kerjayanya sebagai gimnas negara, dengan kemuncaknya bertanding di Sukan Olimpik Tokyo tahun lepas.

"Saya pastinya akan merindui latihan kerana saya melakukannya hampir setiap hari. Tapi, sudah pasti saya teruja untuk melihat apa yang ada untuk saya pada masa depan,” katanya. - Bernama