'Terima kasih dunia gimnastik' - Farah Ann

Tangkap layar status Instagram Farah Ann yang memberi bayangan persaraannya daripada dunia gimnastik.
Tangkap layar status Instagram Farah Ann yang memberi bayangan persaraannya daripada dunia gimnastik.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] STATUS ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi dalam pasukan kebangsaan akhirnya terjawab apabila atlet berusia 27 tahun itu memberi bayangan bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia gimnas.

Farah Ann, yang mengucapkan selamat tinggal kepada gimnastik menerusi Instagramnya menyifatkan penglibatan selama 25 tahun dalam sukan itu sebagai satu perjalanan yang menakjubkan.

“25 tahun lalu, seorang anak kecil mengambil keberanian dan menyertai dunia gimnastik. Terpesona untuk menjadi seorang gimnas, saya memulakan perjalanan yang akhirnya menjadi minat terbesar dalam hidup saya.

“Sekarang selepas 25 tahun yang menakjubkan dalam sukan ini, saya akhirnya sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal daripada menjadi seorang gimnas kompetitif.

“Apa yang boleh saya katakan, terima kasih gimnastik atas memori indah dan pengalaman yang diperoleh. Di sepanjang perjalanan itu, saya mengorak langkah untuk mencapai impian saya, layak dan beraksi di Sukan Olimpik, saya bersyukur atas persaraan saya yang mengikut jangka masa.

“Ia begitu menakjubkan. Terima kasih kepada semua. Gimnastik akan sentiasa menjadi sebahagian daripada saya, kerana ia akan selalu menjadi minat saya.

“Saya berharap dapat memberikan sesuatu kembali kepada sukan ini. Saya mungkin bersara sebagai atlet tetapi saya akan sentiasa terus terbabit dalam dunia sukan,” kata Farah dalam satu hantaran di Instagramnya pada Sabtu.

Status pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu sebelum ini menjadi teka-teki apabila belum memberikan sebarang perkembangan termasuk surat persaraan kepada Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF).

Artikel Berkaitan:

Malah menurut Setiausaha Kehormat MGF, Afrita Ariany Nasril, Farah Ann masih tersenarai untuk Sukan SEA di Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei depan.