Sila log masuk terlebih dahulu.

Farah Ann tiada dalam senarai akhir Sukan SEA

Farah Ann
Farah Ann
A
A
A

[DIKEMAS KINI] RATU gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi sah tidak akan mempertahankan pingat emasnya apabila tidak disenaraikan ke Sukan SEA Hanoi, Vietnam pada 12 hingga 23 Mei depan.

Setiausaha Agung Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Afrita Afiani Nasril mengesahkan bahawa Farah Ann yang dijangka akan bersara tidak lama lagi, tiada dalam senarai akhir skuad gimnastik artistik negara ke temasya dwitahunan itu.

Memandangkan hari ini adalah tarikh akhir pendaftaran dengan penganjur, Afrika berkata, MGF meneruskan pendaftaran tanpa menyenaraikan Olimpian negara itu ke Vietnam kerana atlet berkenaan belum membuat keputusan berkaitan masa depannya bersama skuad kebangsaan.

"Sejak awal lagi kita dengar Farah Ann hendak bersara dan kemudian hendak teruskan tapi bagi MGF, kita tidak boleh tunggu sehingga beliau memberikan jawapan (mengenai masa depan).

"Farah Ann pernah menyuarakan beliau mahu bersara pada 2019 jadi sejak dari itu kita sudah membuat persiapan dalam dua pelan iaitu Pelan A dengan adanya Farah Ann manakala Pelan B tanpa beliau dan sekarang kita pilih Pelan B untuk ke Hanoi,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Dalam pada itu, Afrita, yang baru dilantik oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai Timbalan Chef de Mission ke Sukan SEA Hanoi berkata, Farah Ann berkemungkinan akan mengumumkan statusnya dalam sidang media yang dijadualkan pada Isnin (14 Mac).

Ditanya mengenai peluang skuad gimnastik artistik wanita negara tanpa Farah Ann, Afrita mengakui dengan adanya atlet kelahiran Selangor itu peluang Malaysia lebih cerah untuk meraih pingat emas dalam acara berpasukan.

"Agak mudah untuk Malaysia meraih pingat emas acara berpasukan dengan kehadiran Farah Ann...kini tanpa beliau dalam pasukan, kita menyasarkan satu emas dalam acara individu melalui Tan Ing Yueh (melombol) atau Rachel Yeoh Li Wen (palang bertingkat),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Farah Ann meraih tiga emas pada edisi lepas di Filipina melalui disiplin senaman lantai, palang bertingkat dan all-around.

Sebelum ini, masa depan Farah Ann bersama skuad kebangsaan menjadi tanda tanya selepas beliau dilaporkan tidak mengikuti latihan bersama pasukan negara selama tiga minggu dan sedang mempertimbangkan untuk bersara.

Sementara itu, Afrita memaklumkan MGF turut menyenaraikan enam gimnas lelaki, tiga gimnas bagi acara gimnastik berirama individu dan enam gimnas dalam acara gimnastik berirama berpasukan.

Beliau berkata, MGF menyasarkan satu pingat emas dalam acara gimnastik artistik lelaki melalui Tan Fu Jie (kekuda berpelana) manakala satu lagi emas dalam acara individu berirama.

Berikut adalah senarai 19 gimnas yang mewakili Malaysia ke Sukan SEA Hanoi, Vietnam:

Gimnastik artistik lelaki:

Tan Fu Jie, Muhammad Shahrul Aimy Kamarul, Ng Chun Chen, Teoh Chuen Feng, Luqman Al Hafiz Zulfa, Zul Bahrin Mat Asri

Gimnastik artistik wanita:

Tan Ing Yueh, Rachel Yeoh Li Wen, Geanie Ng Ee Ling, Zarith Imaan Khalid

Gimnastik berirama individu:

Koh Sie Yan, Izzah Amzan, Ng Joe Ee

Gimnastik berirama berpasukan:

Shak Yuki, Ng Jia Wen, Ashley Lim Xin Yi, Maia Ong Xiao Han, Jingle Shak Qi, Yap Yi Tung