Pramugari, suami jual nasi lemak selepas diberhenti kerja

Hana Batrisya dan Muhammad Nur Azizee optimis apabila perniagaan Nasi Lemak Wak Zee kini semakin mendapat sambutan.
Hana Batrisya dan Muhammad Nur Azizee optimis apabila perniagaan Nasi Lemak Wak Zee kini semakin mendapat sambutan.
A
A
A

GEORGETOWN - Diuji dengan pelaksanaan pemberhentian kerja di sebuah syarikat penerbangan tidak mematahkan semangat sepasang suami isteri untuk terus bangkit mengusahakan perniagaan nasi lemak.

Bekas pramugari, Hana Batrisya Zainol, 24, bersama suami yang juga kakitangan katering penerbangan, Muhammad Nur Azizee Roslan, 25, nekad menggunakan wang simpanan mengusahakan nasi lemak daun pisang di sebuah astaka makanan di Jalan Macalister di sini sejak Februari tahun lalu.

Hana Batrisya dan Muhammad Nur Azizee juga mengimpikan perniagaan mereka yang dinamakan Nasi Lemak Wak Zee itu dipasarkan di awan biru menerusi syarikat penerbangan.

"Itu impian saya dan suami. Bagaimanapun, saya tahu, ia bukan sesuatu mudah untuk kami mengecapinya.

"Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan, saya optimis impian itu pasti akan tercapai satu hari nanti," katanya ketika ditemui bersama suaminya di sini pada Isnin.

Anak jati Pulau Pinang itu juga tidak menyangka perniagaan nasi lemak yang dibantu oleh ibu, bapa dan ibu saudaranya itu kini menjadi sebutan dalam kalangan pelanggan di negeri ini.

"Kami memulakan perniagaan ini sejak Februari tahun lalu selepas saya dan suami terlibat dalam pemberhentian kerja dua tahun lalu. Berbekalkan modal dari wang simpanan sendiri sebanyak RM5,000, kami mula berniaga nasi lemak ini.

"Pada mulanya, kami hanya berniaga di tepi jalan sahaja sebelum berpindah ke astaka makanan. Mungkin dengan kelebihan berniaga di sini dan merupakan satu-satunya gerai makanan Melayu, kami senang dikenali.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, dengan kelebihan saya boleh berbahasa hokkien dan mandarin, mungkin juga memainkan peranan untuk menarik lebih ramai pelanggan berbangsa Cina," katanya.

Ditanya mengenai kelebihan Nasi Lemak Wan Zee, Hana berkata, ia merupakan resipi turun temurun keluargnya dan mertua.

"Suami saya suka nasi lemak dan resipi ini dari keluarganya. Apabila kami dapat resipi ini, ibu saya yang berasal dari Indonesia pula mengolahnya sebelum Nasi Lemak Wak Zee dikenali ramai.

"Ketika mula buka, saya hanya masak nasi 30 hingga 40 kilogram (kg) saja. Itu pun tidak habis kerana ramai belum mengenalinya. Setiap hari 50 hingga 60 bungkus tidak habis. Kami terpaksa melaluinya selama tiga bulan sejak dibuka. Sekarang ini syukur, setiap hari sebanyak 50kg nasi habis dijual.

"Bermula dengan empat jenis nasi lemak iaitu nasi lemak biasa, ikan, ayam dan udang, kini kami tambah menu lagi iaitu nasi lemak sotong dan campur (semua lauk). Harga pula antara RM1.50 hingga RM4.50," katanya.

Hana Batrisya yang bekerja selama tiga tahun setengah di syarikat penerbangan berkata, selain impian memasuki pasaran penerbangan, dia dan suami bercadang membuka cawangan Nasi Lemak Wak Zee di ibu negara.

"Keluarga mertua saya di Sepang, Selangor dan saya berniat untuk membuka cawangan di sana diuruskan oleh bapa mertua tetapi masih dalam perancangan.

"Saya juga sedang merancang membuka kafe sendiri selain membuat nasi lemak sejuk beku untuk meluaskan lagi pasaran. Harapan kami, rancangan ini dapat direalisasikan," katanya.

Ditanya sama ada rindu untuk 'terbang' kembali, anak sulung dua beradik ini berkata, untuk ketika ini, dia dan suami hanya mahu menumpukan kepada perniagaan mereka yang kini mula dikenali.

"Buat masa ini, belum terfikir, kalau boleh biar lah keadaan (ekonomi) stabil dahulu. Lagi pun, saya dan suami sudah selesa dengan perniagaan ini malah kami ada perancangan untuk mengembangkan perniagaan.

"Cuma impian untuk melihat Nasi Lemak Wak Zee berada di awan biru masih menebal dan insyaALLAH, dengan usaha kuat, tidak mustahil impian ini boleh terlaksana," katanya.