Pemain Sang Kenari ada kualiti sarung jersi Harimau Malaya

Aidil Sharin membariskan majoriti pemain tempatan muda pada aksi pertama Piala FA 2022 sebelum menang 4-0 mengatasi pasukan Liga M3, Sains FC 4-0 di Stadium Darul Aman pada Sabtu. -Foto KDA FC
Aidil Sharin membariskan majoriti pemain tempatan muda pada aksi pertama Piala FA 2022 sebelum menang 4-0 mengatasi pasukan Liga M3, Sains FC 4-0 di Stadium Darul Aman pada Sabtu. -Foto KDA FC
A
A
A

BEBERAPA pemain Sang Kenari mempunyai kualiti untuk terpilih menyarung jersi Harimau Malaya berdasarkan prestasi membantu pasukan tersebut muncul naib juara Liga Super 2021 dan juga dua kemenangan awal aksi Liga Super musim ini.

Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak berkata, beliau percaya pemain-pemain tersebut akan dipanggil suatu hari jika terus menunjukkan aksi konsisten dari satu perlawanan ke satu perlawanan dalam saingan Liga Malaysia.

"Saya secara peribadi percaya pemain-pemain saya (kualiti untuk beraksi bersama Harimau Malaya) namun kita perlu menghormati keputusan yang dibuat oleh Ketua Jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon.

"Beliau masih lagi baharu dan mungkin perlu masa (untuk melihat kualiti semua pemain tempatan)," katanya ketika diminta mengulas potensi dan kualiti pemain-pemainnya untuk dipanggil memperkuatkan Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin melihat persaingan sihat pemain-pemainnya untuk merebut kesebelasan utama bukan sahaja bagus untuk skuad KDA FC tetapi juga untuk pasukan kebangsaan.

Jelasnya, Sang Kenari kini dalam proses memberi ruang kepada pemain-pemain yang cedera untuk kembali pulih sebelum aksi Liga Super seterusnya bertemu Sri Pahang FC di laman sendiri pada 6 April depan.

Pada Khamis lalu, Pan Gon mengumumkan senarai 30 pemain yang akan berhadapan Siri Tiga-Negara FAS 2022 di Singapura sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun.

Barisan pemain terdiri daripada barisan biasa lama yang juga memperlihatkan penyertaan kembali bekas ketua pasukan Safiq Rahim, 35, manakala 15 daripada 24 pemain pasukan yang gagal di Piala AFC 2020 tahun lepas, turut tersenarai.

Artikel Berkaitan:

Pan Gon turut menamakan dua pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh (pemain sayap) dan Liridon Krasniqi (penyerang/tengah) namun Guilherme de Paula tidak disenaraikan.