Sila log masuk terlebih dahulu.

'Jangan kacau kerja Pan-gon'

Pan-gon dalam sidang media di Wisma FAM pada Khamis lalu. - Foto FB FAM
Pan-gon dalam sidang media di Wisma FAM pada Khamis lalu. - Foto FB FAM
A
A
A

PENGENDALI baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon harus diberikan ruang dan masa yang secukupnya bagi membuktikan kemampuannya dalam mengangkat maruah bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, semua pihak khususnya peminat bola sepak tempatan tidak harus cepat 'melatah' dalam menilai kemampuan serta kredibiliti jurulatih kelahiran Korea Selatan itu.

“Pada pandangan saya, pemilihan pemain kali ini sama sahaja dengan pemilihan yang dibuat oleh jurulatih-jurulatih skuad kebangsaan sebelum ini, tak lebih dan tak ada kurangnya.

“Cuma janganlah kita terlalu cepat menilai. Pan-gon haruslah diberikan peluang kerana kita mahukan beliau membawa kejayaan dan sudah tentu kita tidak mahu berlaku yang sebaliknya.

“Jadi biarlah Pan-gon membuat penilaian terlebih dahulu barisan pemain yang dipilih. Beliau pun sudah menyatakan mahu mengenali pemain dengan lebih dekat.

“Inilah masanya beliau kenal setiap pemain yang dipilih dalam kelompok 30 pemain itu. Sudah tentu, beliau akan menilai dari setiap sudut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Azlan
Azlan

Artikel Berkaitan:

Khamis lalu, Pang-gon mengumumkan senarai 30 pemain termasuk 10 pemain yang dalam ‘senarai bersedia’ bagi mengikuti kem latihan pusat di Stadium Nasional, Bukit Jalil selama lapan hari mulai Isnin.

Melihatkan senarai 30 pemain yang dipilih Pan-gon, tidak banyak 'kejutan' yang berlaku selain penampilan beberapa muka baharu dan kehadiran semula bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim.

Malah, 'ketiadaan' nama penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula dalam senarai kali ini, bukan sesuatu yang mengejutkan kerana prestasinya yang tidak begitu menyerlah dalam dua tugasan antarabangsa tahun lalu.

Mengulas lanjut, Azlan percaya nasihat daripada pembantu jurulatih Harimau Malaya, E Elavarasan turut mempengaruhi pemilihan barisan pemain bagi mengikuti kem latihan pusat skuad kebangsaan kali ini.

“Kebiasaannya jurulatih mahu melihat sendiri kebolehan pemain yang dipanggil. Lagipun Pan-gon masih baharu di Malaysia, jadi secara tidak langsung beliau telah meletakkan kepercayaan kepada Elavarasan.

“Saya juga percaya beliau sudah membuat homework. Seperti yang dikatakannya dalam sidang media sebelum ini, pemilihan dibuat berdasarkan kepada pengalaman dan minit permainan yang dimiliki setiap pemain.

“Cuma pemain-pemain yang telah dipilih mengikuti kem latihan pusat kali ini, harus belajar untuk mengikut corak latihan dan juga perancangan yang telah disusun Pan-gon,” ujarnya.

Pada masa sama, Azlan tidak menolak kemungkinan pemain-pemain kelab Liga M3 berpeluang dipanggil memperkuat Harimau Malaya jika mereka mampu menambat hati Pan-gon.

“Kalau tanya saya, mengapa tidak? Tak salah untuk panggil pemain Liga M3 kerana ada juga dalam kalangan mereka yang pernah beraksi bersama Harimau Malaya sebelum ini.

“Saya berharap Pan-gon tidak hanya menilai pemain daripada Liga Super dan Liga Premier. Sebaliknya, beliau dan barisan kejurulatihan negara juga harus memantau pemain daripada Liga M3,” jelasnya.