Nafuzi mahu Sang Kenari teruskan rentak kemenangan

Nafuzi Zain. FOTO KDA FC
Nafuzi Zain. FOTO KDA FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC mahu meneruskan momentum kemenangan apabila melayan kunjungan Perak FC pada aksi pertama pusingan kedua Liga Super 2023 di Stadium Darul Aman pada malam Rabu.

Pengendalinya, Nafuzi Zain bagaimanapun mahu anak buahnya tidak memandang rendah keupayaan skuad bimbingan Yusri Che Lah yang kini sedang dahagakan kemenangan.

Menurutnya, pengalaman tewas kepada pasukan yang berada di kelompok bawahan pada pusingan pertama liga super perlu menjadi pengajaran kepada semua pemain KDA FC.

"Kita menang 4-1 ke atas Perak FC pada perlawanan sulung liga super pada Februari lalu tapi kami tetap perlu lebih berwaspada dengan kemampuan dan kebangkitan mereka pada pusingan kedua ini.

"Bukan mudah jika menentang pasukan dianggap pasukan bawahan kerana sebelum ini ada kejutan yang berlaku dalam liga apabila pasukan besar tewas mengejut kepada pasukan bawahan," katanya mengulas aksi ke-14 liga super pada malam Rabu.

Nafuzi berkata, KDA FC berada pada momentum yang baik selepas bangkit menewaskan Sabah FC 2-1 pada Jumaat lalu.

Jelasnya, Sang Kenari kini mahu meneruskan fokus dan mengekalkan momentum kemenangan di laman sendiri bagi memastikan kedudukan pasukan terus berada dalam kelompok atasan liga.

"Pasukan yang tewas seperti Perak FC sudah tentu tidak mahu terus kecewa dan mereka akan cuba untuk bangkit memburu keputusan positif dan menghukum pasukan yang lalai," ujar Nafuzi.

Pada Sabtu lalu, Perak FC mencatatkan kekalahan kelapannya apabila tewas 0-3 kepada Terengganu FC di Ipoh.