Berkat doa ibu, pelajar Malaysia naib juara seni khat

Karya seni khat nukilan Muhammad Afiq merangkul naib juara sempena Pertandingan Kemahiran dan Bakat Pelajar Antarabangsa Universiti Al-Azhar 2022 di Pusat Konvensyen Azhar, di Kaherah, Mesir.
Karya seni khat nukilan Muhammad Afiq merangkul naib juara sempena Pertandingan Kemahiran dan Bakat Pelajar Antarabangsa Universiti Al-Azhar 2022 di Pusat Konvensyen Azhar, di Kaherah, Mesir.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelajar Malaysia mencipta sejarah tersendiri apabila merangkul naib juara menerusi seni khat diwali jani dalam seni kaligrafi Islam sempena Pertandingan Kemahiran dan Bakat Pelajar Antarabangsa Universiti Al-Azhar 2022 di Pusat Konvensyen Azhar di Kaherah, Mesir, Khamis lalu.

Walaupun hanya mengambil masa selama lapan hari untuk menyiapkan hasil karya berbanding tempoh sebulan yang diberikan, pelajar tahun tiga jurusan Syariah Islamiah, Muhammad Afiq Anam, 25, tetap berjaya berada tempat kedua daripada 80 peserta lain.

Anak kelahiran Kuala Terengganu itu berkata, kejayaan berkenaan berkat doa kedua ibu bapanya, Norlaila Sidek dan Anam Salleh yang tidak pernah jemu mendorong serta memberikan semangat dia mendalami setiap cabang ilmu seni khat.

"Saya mula belajar seni khat ketika di Tingkatan Satu. Ibu saya bersungguh-sungguh memberi semangat dan sanggup mencarikan guru dan galakan menyertai pertandingan khat.

"Alhamdulillah, berkat doa mereka, saya pernah merangkul johan pertandingan di peringkat negeri dan naib johan di peringkat kebangsaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Tidak terhenti setakat itu, Muhammad Afiq berkata, pengajian seni khat disambung selepas melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Muhammad Afiq (kanan) menerima penghargaan sempena Pertandingan Kemahiran Dan Bakat Pelajar Antarabangsa Universiti Al-Azhar 2022 di Pusat Konvensyen Azhar, di Kaherah, Mesir.
Muhammad Afiq (kanan) menerima penghargaan sempena Pertandingan Kemahiran Dan Bakat Pelajar Antarabangsa Universiti Al-Azhar 2022 di Pusat Konvensyen Azhar, di Kaherah, Mesir.

"Sampai di Mesir saya sambung lagi pengajian khat secara turath (tradisional) serta betul-betul fokus dalam bidang kesenian ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya mula menyertai kelas talaqi dan sanad serta menggunakan manhaj (Manhaj Hamidi) sempena nama guru kami iaitu Tokoh Kaligrafi Islam, Syeikh Belaid Hamidi," ujarnya.

Muhammad Afiq yang telah menamatkan ijazah dalam tiga seni khat iaitu khat riqaah, khat diwani dan khat diwani jali kini dalam proses mempelajari tiga lagi cabang kesenian khat iaitu khat sulus jali, sulus adi dan nasakh.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Ladang di Kuala Terengganu itu turut mengukuhkan ilmu seni khat yang dimiliki dengan mengajar pelajar dari Malaysia, Thailand, dan Indonesia di universiti berkenaan.

Selain Muhammad Afiq, lapan pelajar dari Malaysia turut memenangi beberapa pertandingan antaranya Hafalan al-Quran serta Tulisan Khat Arab.