JPNP swastakan 14 kawasan eko-pelancongan

Mohd Hizamri Mohd Yasin
Mohd Hizamri Mohd Yasin
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 14 kawasan eko-pelancongan yang berstatus Hutan Simpan Kekal (HSK) di Pahang akan berada dibawah selian Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JNPN) akan diswastakan.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan pusat pelancongan terbabit dapat diurus dengan baik, seterusnya mampu menarik lebih ramai pelancong.

Menurutnya, antara TER yang diswastakan ialah TER Sungai Pandan; TER Berkelah, TER Lubuk Yu, TER Kenong, TER Kem Nusa, Air Terjun Pelangi, Hutan Konifer, Air Terjun Ulu Tampik dan Pusat Kecemerlangan Alam Sekitar Sungai Tabung (PKAS).

"Kita turut menswastakan Taman Negeri Rompin (TNR) yang terletak dalam kawasan Hutan Simpan Endau-Rompin dan sebanyak RM15 juta disediakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk menaik taraf tempat berkenaan dengan pelbagai kemudahan serta produk yang dapat menarik kehadiran pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Kalau ikutkan di Pahang, terdapat 26 TER yang menjadi antara produk pelancongan terkenal disetiap daerah dan kita tidak mampu untuk menguruskan semuanya. Justeru hanya dengan penswastaan sahaja dapat menyelesaikan masalah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum itu, majlis Penyerahan Tapak Projek Cameron Highlands Montane Park (CHiMP) dilaksanakan dan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang di TER Parit Fall pada Ahad.

Beliau menjelaskan Pahang kaya dengan produk eko-pelancongan terletak dalam HSK dan ia sebenarnya mampu memberi sumber pendapatan kepada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut mengenai tapak CHiMP, Mohd Hizamri menambah, CHiMP menjadi pusat penyelidikan dan konservatori dengan mengumpul lebih 300 pelbagai tumbuhan hutan pergunungan terletak dalam TER Parit Fall Hutan Simpan Ulu Bertam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tapak projek CHiMP sebelum ini diuruskan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah tamat pada 31 Disember 2020 kini diserahkan semula kepada JPNP seperti yang diarahkan oleh Kerajaan Pahang.

"Kerajaan Pahang sudah menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang dalam usaha memperkasakan sektor pelancongan dan melindungi sumber biodiversiti.

“Perbadanan Taman Negeri Pahang akan berfungsi sebagai penasihat kepada Pihak Berkuasa Negeri mengenai perkara berhubungan dengan dasar umum berkaitan pemeliharaan, pergunaan, kawalan dan pengurusan serta pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negeri Pahang," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Hizamri memaklumkan kebanyakan kawasan TER, Hutan Taman Negeri dan kawasan pendakian berstatus Hutan HSK akan diambil alih oleh Perbadanan Taman Negeri Pahang.

“Bagaimanapun, kita berharap agar aspek pengurusan dan pentadbiran kawasan eko-pelancongan berstatus HSK akan terus kekal di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa JPNP,” katanya.