BN kemuka petisyen DUN Bukit Batu

Vigneswaran berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Pendidikan India Perak di Pejabat BN Sungai Siput pada Ahad.
Vigneswaran berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Pendidikan India Perak di Pejabat BN Sungai Siput pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu yang dimenangi calon PKR, Arthur Chiong Sen Sern pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Sabtu.

Sen Sern berjaya memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 137 undi menewaskan calon BN daripada MIC, S Suppayah yang memperoleh 9,302 undi.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, petisyen itu akan difailkan di Mahkamah Tinggi selepas pihaknya dimaklumkan terdapat lebih 600 kertas undi rosak dalam pengiraan di kawasan itu.

"Sebanyak 650 undi rosak dan kita telah buat bantahan tetapi saya diberitahu bahawa bantahan itu seharusnya dibuat mengikut saluran-saluran sepatutnya.

"Maka, kita akan membuat rayuan di mahkamah supaya kita boleh memastikan bahawa pengiraan undi itu dibuat secara betul," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan 32 komputer riba kepada pelajar pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Pendidikan India Perak di Pejabat BN Sungai Siput di sini pada Ahad.

Vigneswaran berkata, kemenangan lebih dua pertiga yang diperolehi pada PRN Johor kali ini bukti pengiktirafan rakyat negeri itu kepada calon BN.

Katanya, undi kaum India kembali kepada BN juga menunjukkan peningkatan dan bukan sekadar retorik semata-mata.

"Sokongan padu rakyat majmuk termasuk kaum Cina kepada calon BN dapat dilihat menerusi kemenangan pada PRN Johor dan Melaka.

Artikel Berkaitan:

"Kita melihat sokongan pengundi bukan kepada calon tetapi lebih kepada parti yang diwakilinya. Ini suatu perkara yang baik yang mana calon kita telah mendapat undi pelbagai kaum," katanya.

Sementara itu, Vigneswaran berkata, MIC menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menentukan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

"Kita tidak ada banyak masa lagi namun terpulang kepada Perdana Menteri untuk mengadakan PRU pada waktu yang sesuai. Jentera kita sudah mula bekerja.

"Bagi jumlah kerusi pula, kita akan bincang dalam kalangan kepimpinan BN. Meminta kerusi setakat untuk bertanding tidak berguna, jika mahu minta kerusi pun mestilah ada peluang tinggi untuk menang," katanya.


Dapatkan keputusan #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my