Muda akan jadi pembangkang berkualiti di Johor: Syed Saddiq

Syed Saddiq - Foto Bernama
Syed Saddiq - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) nekad menjadi pembangkang yang berkualiti selepas tewas enam daripada tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti itu akan menjadi pembangkang yang melakukan semak dan imbang secara berkesan bagi memastikan rakyat Johor mendapat pembelaan sewajarnya.

Ahli Parlimen Muar itu berkata, menang atau kalah politik khidmat yang diperkenalkan Muda akan tetap diteruskan.

"Kita akui baru bertapak kira-kira dua bulan, tidak mudah bila kita guna bendera sendiri yang baru disebarkan (diperkenalkan) tetapi saya rasa, pada masa depan kita perlu kuat kerja.

"Walaupun kalah kita akan tetap memberikan khidmat sebaik mungkin di kawasan-kawasan yang kita kalah," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Muda, Taman Desa Tebrau di sini pada Sabtu.

Pada PRN Johor, Muda bertanding di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa, Bukit Permai dan Larkin.

Berdasarkan perkiraan undi sehingga kira-kira jam 11 malam, calon Muda bagi kerusi DUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz mendahului kiraan undi dengan memperoleh 18,891 undi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Muda meninggalkan calon Barisan Nasional (BN), Ng Yew Aik yang meraih 14,362 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Loh Kah Yong memperoleh 7,914 undi.

Artikel Berkaitan:

Tiga lagi calon, Khairil Anwar Razali dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendapat 2,158 undi, calon Parti Bangsa Malaysia (PBM), Steven Choong Shiau Yoon mendapat 2,103 dan calon Bebas, Adzrin Adam mendapat 346 undi.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, kiraan undi untuk kerusi DUN Puteri Wangsa tinggal sedikit sahaja lagi dan apabila diisytiharkan menang nanti merupakan satu permulaan baharu untuk Amira Aisya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Amira Aisya serta semua jentera Muda yang bekerja keras sejak hari pertama berkempen dan selepas ini apabila sah menjadi wakil rakyat perlu mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.