Jenama Tydie Neverdie Kampung Cherating popular di persada dunia

Dewi Susanty menjemur pakaian yang sudah siap dihasilkan melalui proses tie dye di Kampung Cherating pada Sabtu. Gambar kecil: Dewi Susanty
Dewi Susanty menjemur pakaian yang sudah siap dihasilkan melalui proses tie dye di Kampung Cherating pada Sabtu. Gambar kecil: Dewi Susanty
A
A
A

KUANTAN - Setelah hampir sedekad mencari rezeki dalam seni mewarna baju menggunakan teknik ikat dan celup atau 'tie dye' kini, seorang wanita dari Kampung Cherating di sini boleh berbangga apabila hasil kerja tangannya itu mendapat permintaan tinggi di luar negara.

Dewi Susanty Hasrul, 43, mengakui tidak mempunyai pengalaman asas dalam bidang itu, namun nekad mempelajari teknik-teknik menghasilkan pelbagai corak pada pakaian dengan hanya menonton video di Youtube.

Daripada seorang amatur, kini Dewi Susanty sudah menghasilkan pakaian tie dye jenamanya sendiri, Tydie Neverdie dengan menjual di pasaran tempatan.

Menurutnya, disebabkan pandemik Covid-19, dia telah mengubah haluan perniagaan yang diusahakannya itu dengan mula meneroka pasaran antarabangsa.

"Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu cukup terkesan apabila kedai terpaksa ditutup dan dari situ saya mula mencari tapak memasarkan produk Cherating ke luar negara dengan menyertai beberapa kumpulan Tiedyer di luar negara melalui laman sosial seperti Facebook dan Instagram.

"Melalui produk jenama Tydie Neverdie yang saya pertaruhkan ini, akhirnya saya berjaya mendapat tempahan daripada Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom dan beberapa buah negara lain lagi.

"Malah, ada sebuah kedai yang dikenali Love On Height di Sun Francisco di Amerika Syarikat yang menjual barangan berasaskan tie dye dari hampir seluruh negara dan turut memilih produk saya untuk diletakkan di kedai mereka," katanya ketika ditemui di kedai miliknya di Cherating pada Sabtu.

Ibu kepada lima anak itu berkata, bagi memenuhi permintaan pembeli di luar dan dalam negara dia turut mempelbagaikan produk keluarannya seperti T-shirt, beg, cadar, tudung, kaftan dan pareo.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, setiap dua bulan sekali, pelbagai produk tie dye yang dihasilkan mengikut citarasa pembeli akan dihantar ke beberapa buah negara.

Dewi Susanty menambah menambah, dia pernah menerima tawaran untuk berkolaborasi dengan seorang pengusaha dari Amerika Syarikat dan menetap di negara itu untuk menghasilkan corak unik tie dye untuk mereka.

"Bagaimanapun, saya menolak permintaan itu kerana saya bukan mahu mempromosikan diri saya, sebaliknya mahu mempromosi Malaysia di mata dunia.

"Jadi, sudah cukup dengan keberadaan produk saya di sana (luar negara) dan ini sudah cukup membanggakan saya sekeluarga," ujarnya.

Dewi Susanty memberitahu, setiap keluaran yang dihasilkan cukup berbeza dan mempunyai keunikan tersendiri walaupun kaedah penghasilan adalah sama.

“Saya sendiri telah menghasilkan lebih 200 rekaan pelbagai corak untuk dijual kepada peminat seni mencorak baju tie dye.

"Saya boleh beri jaminan, tiada corak yang betul-betul sama akan dijual dan penggunaan warna yang lebih menyerlah serta konsisten dengan menggunakan produk pewarna dari Jerman yang lebih berkualiti tinggi,” katanya yang sudah membuka satu cawangan baharu di Kundasang, Sabah.

Dalam pada itu, Dewi Susanty turut memuji usaha yang dilakukan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam mempromosikan batik Malaysia di luar negara menerusi

pameran tekstil Tenun Pahang Diraja pada Minggu Kraf London (LCW) yang dijadualkan berlangsung di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square, pada 9 Mei hingga 16 Mei depan.

Katanya, usaha itu adalah satu langkah positif sekali gus mampu membuka lebih ruang kepada usahawan Malaysia untuk menembusi pasaran di luar negara.