Tidak pindah kerana rumah masih selamat

Sebahagian kecil penduduk mendakwa tidak berpindah kerana rumah mereka terletak agak jauh dari kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2.
Sebahagian kecil penduduk mendakwa tidak berpindah kerana rumah mereka terletak agak jauh dari kawasan tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2.
A
A
A

AMPANG - Sebahagian kecil penduduk di Taman Bukit Permai 2 di sini, yakin kediaman mereka masih selamat kerana terletak agak jauh dari kawasan tanah yang runtuh di Taman Bukit Permai pada Khamis.

Malah ada juga yang mendakwa sanggup tinggal di rumah masing-masing walaupun tanpa bekalan elektrik dan air yang terputus selepas kejadian tanah runtuh berlaku.

Seorang penduduk warga emas hanya mahu dikenali sebagai Low, 70-an berkata, beliau tidak berhasrat berpindah ketika ini kerana tiada arahan daripada pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

"Saya tinggal di sini sudah 20 tahun dan kejadian tanah runtuh itu baru pertama kali berlaku. Setakat ini, saya tiada rancangan untuk pindah kerana rumah saya agak jauh kira-kira 90 meter dari tempat kejadian.

"Saya masih boleh bertahan walaupun kami di sini mengalami masalah ketiadaan bekalan air dan elektrik selepas kejadian itu berlaku," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Sabtu.

Orang awam hanya dibenarkan berada di luar kawasan larangan dan hanya dibenarkan masuk sekiranya mendapat kebenaran.
Orang awam hanya dibenarkan berada di luar kawasan larangan dan hanya dibenarkan masuk sekiranya mendapat kebenaran.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati pihak berkuasa berkaitan membuat siasatan termasuk pihak polis membuat pengawasan secara giliran di kawasan terjejas sebagai langkah keselamatan.

Seorang lagi penduduk Taman Bukit Permai 2 yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad Abdullah, 50-an pula mengambil keputusan untuk berpindah kerana ketiadaan bekalan air dan elektrik.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak diarah berpindah kerana lokasi rumah dikatakan masih selamat namun keluarga saya perlu keluar dari sini kerana sudah dua hari tiada bekalan air dan elektrik," katanya.

Tambahnya, mereka terbeban kerana perlu membayar kos sewaan inap desa sebanyak RM200 sehari sejak keluar dari rumah berkenaan pada Jumaat lalu dan berharap masalah itu dapat segera diselesaikan.

Penduduk melihat keadaan kawasan perumahan berkenaan selepas kejadian tanah runtuh pada Khamis.
Penduduk melihat keadaan kawasan perumahan berkenaan selepas kejadian tanah runtuh pada Khamis.

Seorang pemuda, Mohd Shahrul Anwar, 28, berkata, rumah keluarganya tidak mengalami masalah bekalan elektrik sebaliknya hanya menghadapi masalah ketiadaan air sejak kejadian itu berlaku.

"Baru pagi ini bekalan elektrik disambungkan kembali ke rumah, tapi saya ada dengar terdapat penduduk di taman perumahan sama masih belum ada menerima bekalan," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat, Dr Aini Ahmad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya telah berhubung dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) bagi mengatasi masalah berkenaan segera.

"Air Selangor memaklumkan gangguan bekalan akan diselesaikan lewat petang ini," katanya.