12 syarikat PKS industri aeroangkasa serta LIMA 2019

Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 12 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri aeroangksa akan menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, penyertaan syarikat PKS itu melalui penglibatan kementerian berkenaan yang merupakan kali pertama dalam sejarah LIMA akan menjadi pemangkin kepada industri aeroangkasa.

Beliau berkata, pameran itu bakal menjadi platform terbaik bagi mempromosi produk serta memperkenalkan kebolehan dan kepakaran syarikat, sekali gus mewujudkan daya saing yang tinggi di peringkat antarabangsa.

"Antara industri utama kami sasarkan ialah industri aeroangkasa...12 syarikat PKS yang terlibat dalam aeroangkasa akan mempamerkan kemampuan mereka dalam pembuatan komponen aeroangkasa dan perkhidmatan untuk industri aeroangkasa," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Kementerian Pembangunan Usahawan, di sini, hari ini.

Redzuan berkata, penglibatan syarikat PKS itu turut diharap dapat menarik minat pemegang kepentingan untuk melabur, seterusnya mengembangkan lagi pembangunan usahawan dalam skala yang lebih besar.

Menurutnya, kementerian itu bertanggungjawab menyokong dan membimbing usahawan mempamerkan produk dan mengetengahkan potensi kepakaran anak muda tempatan dalam industri tersebut.

LIMA 2019 yang akan berlangsung dari 26-30 Mac itu di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Langkawi, Kedah, bakal menampilkan keseluruhan rangkaian pesawat komersial, pertahanan, angkasa lepas, helikopter serta pelbagai perkhidmatan dan produk berkaitan. - Bernama