Leaptec, Desan pamer inovasi industri perkapalan di LIMA 2023

A
A
A

Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd Anis Hisham Abd Aziz (kiri), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (lima kiri), Duta Besar Turki ke Malaysia, H.E. Emir Salim Yuksel (4 kiri) bersama Delegasi Desan di ruang pameran Desan di LIMA 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Leaptec, Datuk Mohd Anis Hisham Abd Aziz (kiri), Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (lima kiri), Duta Besar Turki ke Malaysia, H.E. Emir Salim Yuksel (4 kiri) bersama Delegasi Desan di ruang pameran Desan di LIMA 2023.



SHAH ALAM - Syarikat pembinaan dan pembaikan kapal, Desan Shipyard (Desan) mempamerkan inovasi keupayaan dalam teknologi perkapalan di Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 2023).

Desan merupakan sebahagian daripada Kumpulan Kaptanoglu, antara syarikat perkapalan pertama di Turkiye dengan lebih 100 tahun pengalaman dalam bidang maritim dan sedang meneroka peluang perniagaan di dalam bidang perkapalan.

Leaptec Engineering Sdn Bhd (Leaptec) iaitu anak syarikat LBS Bina Group Berhad (LBS) dan Desan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 13 April lalu bagi meneroka potensi pelaksanaan pembinaan dan pembangunan perniagaan limbungan pembaikan kapal di Melaka.

Desan dan Leaptec turut merancang untuk mewujudkan limbungan kapal di Melaka menerusi tiga fasa, bermula dengan aktiviti pembaikan kapal.

Inisiatif ini seiring dengan rancangan jangka panjang syarikat dan komitmen mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri maritim di Malaysia.

Pengerusi Eksekutif LBS dan Leaptec, Tan Sri Ir. Lim Hock San, berkata, sebagai rakan kerjasama strategik Desan, Leaptec mengambil langkah proaktif dan memainkan pelbagai peranan untuk memperkenalkan perniagaan Limbungan Kapal Leaptec-Desan Melaka kearah memacu pembangunan perniagaan.

“Kehadiran Desan pada LIMA 2023 kali ini membuktikan kerjasama penuh dan kepakaran Desan dalam memperkukuh industri pembinaan dan pembaikan kapal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tiga kanan), melawat ruang pameran Desan di LIMA 2023.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kanan) dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (tiga kanan), melawat ruang pameran Desan di LIMA 2023.

“Penglibatan Leaptec di pameran yang disertai oleh Desan merupakan satu perkara yang amat positif dan menggalakkan lebih-lebih lagi dengan kunjungan kenamaan iaitu lima orang Menteri Kabinet dan Ketua Menteri di pameran tersebut,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara yang hadir ialah Duta Besar Turki ke Malaysia, H.E. Emir Salim Yuksel, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Hock San berkata, kunjungan tersebut menjadi penanda aras positif ke atas potensi kolaborasi sekaligus mengiktiraf keupayaan Leaptec-Desan untuk menjadi salah sebuah limbungan kapal terbesar di Malaysia.

“Pembangunan ini akan meningkatkan lagi industri pembinaan dan pembaikan kapal dan industri maritim di Malaysia.

“Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut menyokong industri perkapalan ini dan telah menyatakan minat untuk menyediakan insentif kewangan seperti yang telah diluluskan dalam Bajet 2023 baru-baru ini,”katanya.

Menurutnya, Desan dan Leaptec turut menyatakan penghargaan kepada penganjur dan pelabur potensi di LIMA 2023 di atas sokongan mereka.

“Pameran ini berjaya mengukuhkan lagi kedudukan Desan sebagai peneraju industri dan memberi komitmen berterusan kepada kedua-dua syarikat untuk memacu inovasi, meningkatkan perkongsian dan menyumbang kepada pertumbuhan industri maritim di Malaysia,”katanya.