Masca pertaruh Toth pacu misi Olimpik Paris 2024

Michael Wong (kiri) bertukar dokumen dengan Toth selepas majlis di Kelab Tasik Putrajaya.Foto FB Malaysia Canoe
Michael Wong (kiri) bertukar dokumen dengan Toth selepas majlis di Kelab Tasik Putrajaya.Foto FB Malaysia Canoe
A
A
A

Persatuan Kanu Malaysia (Masca) menandatangani kontrak dengan Laszlo Toth bagi mendapatkan khidmat jurulatih kanu dari Hungary itu dalam usaha meningkatkan prestasi atlet kebangsaan menjelang temasya Sukan Sea Hanoi pada Mei.

Pemilihan Toth yang berusia 54 tahun juga adalah usaha jangka panjang Masca untuk mengintai kelayakan atlet kanu kebangsaan ke Olimpik Paris 2024.

Presiden Masca, Datuk Michael Wong Meng San berkata, selain berjaya membantu pasukan Hungary meraih tiga pingat emas di Olimpik Athens 2004 dan Rio 2016 dan jurulatih jemputan itu juga mempunyai rekod cemerlang membantu China merangkul tujuh pingat emas di Kejohanan Kanu Asia.

Micheal Wong yang turut melancarkan Program Paris 24, percaya Toth berupaya membawa atlet kanu negara khususnya Khairul Naim Zainal meraih kejayaan di Sukan Sea serta melayakkan diri ke Olimpik.

“Selain menjaga skuad Sukan Sea dan Sukan Asia, tugas khusus untuk Toth adalah membantu Khairul Naim melayakkan diri ke Olimpik. Kami dari pihak Masca dan MSN (Majlis Sukan Negara) akan memberi Khairul Naim sokongan diperlukan dalam penyertaan di Hanoi serta Sukan Asia pada September.

“Kita juga telah berbincang dengan Toth apa kejohanan kelayakan yang perlu disertai untuk dapat beraksi di Kejohanan Dunia dan Paris 2024. Buat masa ini, kontraknya hanya hingga Sukan Sea tetapi akan menilai semula berdasarkan pencapaian di Hanoi nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak jurulatih dan pelancaran Program Paris 24 di Kelab Tasik Putrajaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Michael Wong berkata, Masca hanya akan menghantar empat atlet untuk Sukan Sea kali ini, dengan Khairul Naim mencipta sejarah sebagai atlet kanu pertama negara berada dalam Kategori A (kos ditanggung sepenuhnya).

Artikel Berkaitan:

“Selain Khairul Naim bagi acara K1 1000 meter (m), beliau (Khairul Naim) akan berpasangan bersama Nik Afiq Nik Mazli dalam acara K2 1000m. Selain itu, kita ada juga gandingan Aimi Ayuni Azwan dan Aisyah Harhanah Azwan acara K2 500m dan 1000m,” katanya.

Sebelum ini, Khairul Naim memecahkan rekod kebangsaan di Kejohanan Dunia Kanu Sprint di Hungary 2019 dalam acara K1, 1000m dengan catatan empat minit 4.04.50 saat, sebelum memperbaiki rekod itu dengan masa 4:02.596s di Kejohanan Dunia Kanu Sprint di Portugal pada Julai tahun lalu.

Sementara itu, Toth berkata, buat masa ini beliau mahu memberi tumpuan penuh terhadap Sukan Sea dan akan memastikan kesemua atlet kanu yang akan bertanding melakukan yang terbaik.

“Tahun ini sangat penting, kali ini kami akan berusaha dalam keadaan pandemik dan yang pertama adalah Sukan Sea, kami perlu tumpukan pada ini dahulu kerana ia sangat penting, kami berusaha meraih pingat perak dan gangsa,” katanya. - Bernama