Lebih 300 tenun Pahang Diraja bakal dipamer di London Craft Week

Foto Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang
Foto Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya, lebih 300 koleksi Tenun Pahang Diraja hasil kerja tangan banduan dari Penjara Penor dan Penjara Bentong bakal dipamerkan di London Craft Week yang berlangsung di bangunan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square pada 9 hingga 15 Mei depan.

Lebih menarik, lebih 30 daripada koleksi itu turut mendapat sentuhan kreatif dan rekaan daripada Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga penaung Yayasan Tenun Pahang Diraja.

Pengarah Perbadanan Muzium Negeri Pahang Datuk Ahmad Farid Abdul Jalal berkata, penyertaan itu merupakan inisiatif daripada Tunku Azizah di bawah Yayasan Tenun Pahang Diraja dalam usaha mempromosi produk kraf tempatan terutamanya kain tenun di luar negara.

"Pada saya, langkah Seri Paduka sangat tepat kerana festival ini adalah lokasi strategik dan menjadi kawasan tumpuan pelancong, sekali gus dapat memperkenalkan dan mempromosi produk kraf kita di mata dunia.

"Penglibatan Tunku Azizah sangat lama, bukan sekadar menaunginya, baginda turut terlibat sama dalam kerja-kerja penghasilan kain tenun termasuk soal rekaan, kain dan warna,” katanya dalam sidang media London Craft Week di Istana Negara di sini pada Jumaat.

London Craft Week bakal mengumpulkan hampir 300 pembuat, pereka, jenama serta galeri yang terkenal dari seluruh dunia bagi mempamerkan produk kraf mereka.

Pada masa sama Ahmad Farid berkata penyertaan ke London Craft Week juga dapat memberi pendedahan kepada penggiat tempatan dalam menghasilkan produk kraf yang bermutu tinggi.

Katanya London Craft Week juga akan mempamerkan koleksi khusus dari Muzium Negeri Pahang bagi menunjukkan perjalanan sejarah Tenun Pahang Diraja dari awal sehingga kepada penglibatan penjara dan sebagainya. - Bernama

Artikel Berkaitan: