Pulau Pinang bersiap sebelum pintu sempadan negara buka

Kon Yeow (duduk dua dari kiri) ketika mengumumkan penganjuran Penang Harmony Week 2022 bermula dari 14 hingga 21 Mac ini, pada Jumaat.
Kon Yeow (duduk dua dari kiri) ketika mengumumkan penganjuran Penang Harmony Week 2022 bermula dari 14 hingga 21 Mac ini, pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Tempoh tiga minggu diperlukan bagi semua negeri termasuk Pulau Pinang melakukan persediaan dari segi prosedur operasi standard (SOP) untuk menerima kehadiran pelancong sebelum pintu sempadan negara dibuka pada 1 April depan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif sejak dua bulan lalu untuk menyambut kedatangan pelancong terutama dari luar negara ke Pulau Pinang.

"Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin, agensi-agensi berkaitan serta pemegang taruh telah membuat pelbagai persiapan antaranya lawatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan memperhalusi SOP bagi memastikan pembukaan pintu sempadan dapat dilaksanakan dengan selamat.

"Tiga minggu sebagai tempoh persediaan dan penampan untuk setiap negeri menerima kemasukan pelancong melalui laluan darat, udara dan laut. Persiapan-persiapan ini perlu diperhalusi," katanya dalam sidang akhbar di Komtar, pada Jumaat.

Sebelum itu, Kon Yeow mengumumkan penganjuran Penang Harmony Week 2022, yang akan bermula pada 14 hingga 21 Mac ini.

Kata Kon Yeow, walaupun persiapan dibuat dengan rapi namun bergantung kepada pelancong luar negara sama ada mereka mahu memasuki Malaysia atau tidak dalam tempoh ini atas tujuan melancong, perniagaan atau sebagainya.

"Banyak sektor terbabit antaranya penerbangan untuk memastikan jadual semua penerbangan berjalan lancar. Oleh itu, waktu penampan adalah penting," kata beliau lagi.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, status Lorong Perjalanan Bervaksinasi (VTL) antara Pulau Pinang dan Singapura dilihat tidak perlu lagi jika pintu sempadan negara dibuka April nanti.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kon Yeow, bagaimanapun ia tetap akan dilaksanakan bagi negara yang masih menganggap VTL penting dan bergantung kepada protokol negara masing-masing.

"Bagi negara tanpa sekatan, VTL dilihat tidak diperlukan lagi," katanya.

Pada Disember tahun lalu, Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG) mengemukakan permohonan untuk VTL antara Pulau Pinang dan Singapura.