KDA FC pertaruh pemain muda bertemu Sains FC

Skuad Sang Kenari bakal merehatkan 50 peratus pemainnya yang beraksi pada dua perlawanan awal Liga Super 2022 untuk memberikan ruang kepada pemain muda diturunkan pada aksi pertama Piala FA 2022. - Foto KDA FC
Skuad Sang Kenari bakal merehatkan 50 peratus pemainnya yang beraksi pada dua perlawanan awal Liga Super 2022 untuk memberikan ruang kepada pemain muda diturunkan pada aksi pertama Piala FA 2022. - Foto KDA FC
A
A
A

PUSINGAN pertama saingan Piala FA 2022 bakal menyaksikan lebih ramai pemain muda Kedah Darul Aman (KDA) FC diturunkan bertemu pasukan M3, Sains FC di hadapan penyokong sendiri Sabtu ini.

Penyandang juara Piala FA 2019 itu dijangka merehatkan 50 peratus pemain yang sebelum ini cemerlang membantu pasukan melakarkan dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super 2022.

Begitupun pengendalinya, Aidil Sharin Sahak mengingatkan semua pemain agar tidak memandang rendah keupayaan pasukan pelawat ketika melayan kunjungan mereka di Stadium Darul Aman.

"Pemain muda KDA FC memang sentiasa berusaha keras dan bersaing di antara satu sama lain untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

"Pada pusingan pertama Piala FA ini, mereka akan mendapat ruang kerana mungkin 50 peratus pemain yang beraksi dalam dua perlawanan Liga Super sebelum ini akan direhatkan dan digantikan dengan pemain muda serta pemain lain yang lebih 'fresh'," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Aidil Sharin berkata, biarpun Sains FC merupakan lawan dari liga ketiga negara namun pemain-pemain pasukan tersebut mempunyai semangat tinggi dan mampu memberikan masalah kepada skuad Sang Kenari.

"Jangan ambil mudah kemampuan pihak lawan walaupun mereka dari liga berbeza. Mereka mampu bekerja keras dan membuat kejutan.

"Bagi aksi ini, Kedah mahu meneruskan momentum kemenangan. Pada masa sama juga kami mahu memberi peluang kepada lebih ramai pemain dalam pasukan meningkatkan kemampuan pada musim ini," ujarnya.

Artikel Berkaitan: