JPNP tegas banteras pencerobohan hutan simpan, lombong haram

Mohd Hizamri (kiri) menyerahkan replika cek bantuan persekolahan sesi 2022 untuk anak kakitangan JPNP kepada wakil pekerja di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Cameron Highlands pada Khamis. - Foto Ihsan JPNP
Mohd Hizamri (kiri) menyerahkan replika cek bantuan persekolahan sesi 2022 untuk anak kakitangan JPNP kepada wakil pekerja di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Cameron Highlands pada Khamis. - Foto Ihsan JPNP
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertegas dalam membanteras semua aktiviti pencerobohan hutan simpan seperti membalak dan aktiviti melombong di negeri ini daripada berleluasa.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, bagi tujuan itu, beberapa kaedah telah dilakukan antaranya penggunaan dron udara, intipan satelit, selain mengadakan rondaan berkala dan sekatan jalan raya.

Menurutnya, hasil daripada tindakan itu, sebanyak RM3.9 juta kompaun telah dikutip terhadap pesalah hutan sepanjang tahun lalu.

"Kita juga merampas 44 jentera termasuk lori balak yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab ketika melakukan pencerobohan hutan simpan bagi tujuan pembalakan dan perlombongan.

"Ini satu kejayaan buat JPNP yang selama ini bersungguh-sungguh melakukan pemantauan bagi membanteras semua aktiviti pencerobohan hutan simpan, tanah milik kerajaan dan perlombongan secara haram di Pahang," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Khamis, JPNP telah mengadakan program perhimpunan bulanan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Cameron Highlands.

Beliau menjelaskan sepanjang tahun lalu sebanyak sembilan operasi bersepadu dilakukan bagi memastikan tiada pencerobohan dilakukan oleh mana-mana pihak.

Tambahnya, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Tanah dan Daerah serta Unit Penguat kuasa Negeri Pahang (UPNP).

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohd Hizamri berkata, jabatan sentiasa menjaga kebajikan kakitangan dan keluarga mereka dengan pelbagai bantuan serta kemudahan diberikan.

"Pada bulan lalu seramai 270 kakitangan JPNP yang menjadi mangsa banjir diberi bantuan keperluan asas dan barangan," katanya.