UPNP ambil sampel air premis disyaki cemarkan sungai

RAUB – Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) sudah mengambil sampel air daripada sebuah premis yang disyaki menjadi punca pencemaran Sungai Lampam dan Sungai Gali sebelum pencemaran itu dilaporkan mengalir ke Sungai Dong.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, sampel berkenaan diambil kira-kira jam 2 pagi pada Sabtu sebelum dihantar segera ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.
Menurutnya, pencemaran itu membimbangkan berikutan kandungan oksigen dalam air sungai yang terlalu rendah sehingga menyebabkan kematian hidupan akuatik.
“Air sungai yang kandungan oksigennya begitu tipis sehingga menyebabkan kematian hidupan lain dalam air dibimbangi akan memberi kesan buruk jangka panjang kepada ketiga-tiga sungai ini.
“Saya telah meminta UPNP memastikan tiada lagi penyaliran air daripada premis berkenaan ke sungai berdekatan dan maknanya dihentikan serta-merta,” katanya dalam satu hantaran video menerusi Facebook milik beliau pada Sabtu.
Sinar Harian melaporkan pendedahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong yang meninjau sendiri keadaan Sungai Gali dan Sungai Lampan di sini pada Jumaat.
Katanya, pelbagai spesies ikan ditemukan mati dipercayai berpunca daripada pencemaran serius di dua sungai terbabit.
Fadzli turut meminta Majlis Daerah Raub (MDR) menghentikan operasi premis berkenaan sementara pihak terbabit memperbaharui lesen operasi yang telah tamat tempoh.
Beliau juga memandang serius kejadian itu kerana pencemaran berkenaan boleh memusnahkan habitat serta ekosistem sungai yang mengambil masa panjang untuk dipulihkan.
"Saya ucapkan terima kasih UPNP, MDR dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Raub atas tindakan pantas dan tegas bagi menangani masalah berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


