Tanah runtuh: Waris mangsa terkorban terima bantuan RM10,000

Amirudin ketika ditemui pemberita di Taman Bukit Permai 2 pada Jumaat.
Amirudin ketika ditemui pemberita di Taman Bukit Permai 2 pada Jumaat.
A
A
A

AMPANG - Empat waris mangsa yang terkorban akibat tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, di sini akan menerima bantuan daripada kerajaan Selangor sebanyak RM10,000 dalam kadar segera.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut memaklumkan bantuan kecemasan sebanyak RM500 akan turut diberikan kepada penghuni 15 rumah yang terkesan akibat bencana tersebut.

Bagaimanapun katanya, bantuan tersebut hanya akan disalurkan apabila siasatan di lokasi kejadian oleh pihak berkaitan selesai dijalankan.

"Kita ada empat mangsa yang meninggal dunia, jadi kerajaan Selangor akan berikan RM10,000 kepada setiap keluarga tersebut.

"Sementara itu, untuk rumah-rumah (yang terjejas) ini, kita tangguhkan dulu kerana kita nak utamakan (kepastian) keadaan selamat dulu baru kita umumkan bantuan dan sokongan yang boleh diberi.

"Sebelum ini, kita berikan sebanyak RM500 tapi saya akan lihat balik jika ada keperluan untuk menambah (peruntukan bantuan)," katanya pada sidang media di Taman Bukit Permai 2, di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, seramai empat orang terkorban, manakala seorang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai, di sini.

Selain itu, kira-kira 15 rumah mengalami kerosakan termasuk dua tertimbus selepas berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai di sini lewat petang Khamis.

Artikel Berkaitan:

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 5.54 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.