Tanah runtuh: Tiada pembalakan, pengosongan tanah dijalankan

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) meninjau situasi insiden tanah runtuh yang berlaku petang semalam di Taman Bukit Permai 2 Ampang pada Jumaat. - Foto Bernama
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (tengah) meninjau situasi insiden tanah runtuh yang berlaku petang semalam di Taman Bukit Permai 2 Ampang pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

AMPANG - Tiada sebarang aktiviti kerja tanah seperti pembalakan dan pengosongan tanah dijalankan di kawasan kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini pada petang Isnin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pergerakan tanah mungkin terjadi disebabkan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut pada hari sama.

Bagaimanapun menurutnya, pihak Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menjalankan siasatan lanjut untuk memastikan kawasan tersebut masih selamat diduduki atau sebaliknya.

"Buat masa ini tiada sebarang aktiviti seperti pembalakan dan pengosongan tanah, mungkin ia disebabkan oleh hujan yang membuat struktur tanah lebih lembut dan mudah terurai.

"Pihak JKR, JMB dan Ikram juga akan menjalankan kajian dalam tempoh dua hingga tiga hari untuk mengenal pasti jika semua 48 rumah ini selamat untuk diduduki atau tidak," katanya ketika sidang media ketika meninjau tapak runtuhan berkenaan di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, pihaknya berbincang dengan Unit Pengurusan Bencana Selangor untuk mengisytiharkan Taman Bukit Permai 2, di sini sebagai kawasan bencana.

Oleh demikian, beliau menasihatkan semua penghuni di 48 buah rumah di sini untuk berpindah buat sementara waktu bagi memberi ruang kepada pihak berkenaan untuk memastikan keselamatan kawasan terbabit.

"Pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diarahkan untuk menutup kawasan tanah runtuh tersebut dengan kanvas bagi menghalang pergerakan tanah terutamanya ketika hujan.

Artikel Berkaitan:

"Keutamaan kita adalah melihat keadaan cerun ini, adakah ia selamat atau tidak, apa proses segera yang perlu dibuat dan berapa kosnya, kita akan buat segera," katanya.

Pada Khamis, kira-kira 15 buah rumah mengalami kerosakan termasuk dua tertimbus selepas berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Teratai, Taman Bukit Permai di Ampang.