Datuk antara lima didakwa gubah wang haram jutaan ringgit

Ab Aziz (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berhubung sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Gambar kanan: Anita (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berhubung sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Ab Aziz (dua dari kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berhubung sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS). Gambar kanan: Anita (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berhubung sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai lima ahli perniagaan termasuk seorang bergelar Datuk, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di sini pada Khamis atas 81 pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit, berhubung sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Mereka ialah Abu Yazid Mohd, 38, Mohd Hariza Mohd Yusof, 34; Datuk Ab Aziz Abdullah, 44; kakaknya, Anita Abdullah, 47; dan suami, Muhammad Semail, 43.

Lima individu itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan di hadapan Suzana, Ab Aziz didakwa atas 41 pertuduhan antaranya memiliki wang tunai dalam akaun lima anak lelakinya serta memiliki kenderaan mewah seperti GMC Yukon XL, Range Rover Sport, Mercedes Benz GLA dan Toyota Vellfire.

Dia juga dituduh memiliki beberapa pangsapuri dan kondominium serta membeli ruang pejabat hasil daripada aktiviti wang haram.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antaranya di Jalan Tun Razak, Taman Melawati, Taman Ukay Perdana dan Setapak pada 13 Februari 2015 hingga 6 April 2021.

Bagi 15 pertuduhan terhadap Anita didakwa memiliki wang dan menggunakan beberapa cek untuk membeli beberapa kondominium serta lot kedai sekitar Taman Melati dan Taman Melawati di sini yang merupakan hasil aktiviti haram, antaranya di Taman Melawati pada 1 Mei 2015 hingga 6 April 2021.

Abu Yazid (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berhubung sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
Abu Yazid (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berhubung sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Yazid didakwa atas tiga pertuduhan iaitu memiliki wang simpanan dan memperoleh dua kereta mewah jenis Range Rover dan Mercedes Benz yang juga hasil aktiviti haram di Sentul, Jalan Ampang serta Jalan Tun Razak antara 5 Mac 2019 hingga 1 Julai 2021.

Bagi pertuduhan di hadapan Azura, Muhammad didakwa atas 11 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.72 juta.

Terdapat juga mata wang asing Euro (EUR) 1,300 dan pound strerling (GBP) 2,000 dipercayai hasil daripada aktiviti sama di Jalan Melati Utama, Setapak, Wangsa Maju, Jalan Tun Razak dan Sungai Penchala antara 19 Mac 2018 hingga 6 April 2021.

Dia juga didakwa bersama Abu Yazid sebagai Pengarah Panorama Indeks Sdn Bhd, memiliki wang tunai RM28,985 milik syarikat tersebut yang merupakan hasil aktiviti haram di CIMB Bank, Taman Melawati pada 6 April 2021.

Tertuduh terakhir, Mohd Hariza pula didakwa atas sembilan pertuduhan memiliki wang berjumlah RM1.37 juta dalam beberapa akaun bank dan menggunakan wang RM115,500 melalui cek CIMB Bank Berhad serta cek Public Bank Berhad sejumlah RM79,997.33 sebagai sebahagian daripada bayaran pembelian sebuah kereta jenis Toyota Vellfire yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Selain itu, Mohd Hariza dan Ab Aziz juga didakwa bersama-sama memiliki wang tunai sebanyak RM559,779.15 di dalam akaun semasa CIMB Bank Berhad milik Syarikat Sepakat Hidayah yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di CIMB Bank Berhad cawangan Taman Melawati pada 6 April 2021.

Bagi kesemua kesalahan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 41(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Md Yunos Sharif.

Mahkamah kemudian membenarkan Ab Aziz diikat jamin RM400,000; Anita, Muhammad dan Mohd Hariza masing-masing RM250,000 manakala Abu Yazid RM150,000.

Mereka turut dikenakan syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebulan sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 April depan untuk sebutan semula kes.