Suami isteri maut terkena renjatan elektrik daripada pemanas air

Mayat pasangan suami isteri diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Foto: Bomba Pahang
Mayat pasangan suami isteri diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Foto: Bomba Pahang
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri ditemui maut dipercayai akibat terkena renjatan arus elektrik dalam bilik air di sebuah flat di Taman Puncak Tringkap, Brinchang, Cameron Highlands pada Khamis.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kejadian bermula ketika mangsa berusia 46 tahun dikatakan sedang mandi menggunakan alat pemanas air dalam bilik air sebelum terkena renjatan elektrik dan seterusnya tidak sedarkan diri.

Menurutnya, isteri mangsa melakukan pemeriksaan apa yang sedang berlaku selepas mendengar jeritan daripada suaminya.

"Ketika memeriksa bilik air itu, mangsa menjerit dan meminta anak perempuannya berusia 10 tahun membawakan sekeping kayu dan cuba menyelamatkan suaminya.

"Namun gagal apabila wanita itu turut terkena renjatan elektrik sebelum tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau menjelaskan, anak pasangan itu kemudiannya menghubungi talian kecemasan bagi melaporkan kejadian berkenaan.

Tambahnya, anggota keselamatan tiba lokasi kejadian mendapati masih ada arus elektrik di sekitar bilik air terbabit.

"Saya dimaklumkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dipanggil untuk membantu mematikan arus elektrik di dalam rumah terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal menemui kesan terbakar pada tapak tangan isteri yang berusia 35 tahun ketika cuba membantu suaminya yang sedang mandi menggunakan pemanas air semasa kejadian berlaku," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 9.20 pagi dan seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kedua mangsa kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai kesihatan yang turut serta dalam operasi menyelamat itu.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata bagi tujuan bedah siasat dan siasatan kejadian itu diserahkan kepada pihak polis.

"Tiga anak pasangan berkenaan berusia antara dua hingga 10 tahun yang turut berada di kediaman itu ketika kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.