Rakyat Johor perlu tolak kerajaan pintu belakang: Dr Mahathir

 MAHATHIR
MAHATHIR
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat Johor perlu menolak kerajaan pintu belakang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, setiap lima tahun Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan dan rakyat memilih kerajaan mengikut sistem demokrasi.

"Pada 12 Mac ini, rakyat Johor berpeluang mengembalikan demokrasi. Tetapi jika bekas-bekas kerajaan pintu belakang yang juga ahli perasuah dipilih kali ini, tentulah sia-sia sahaja pilihan raya diadakan," kata Dr Mahathir dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurut Dr Mahathir, pada 9 Mei 2018 rakyat sekali memilih kerajaan tetapi mereka menolak parti Barisan Nasional (BN) buat kali pertama dan mereka memilih parti Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan Malaysia.

“Malangnya sekutu PH iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan secebis dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) merancang mengkhianati rakyat dan menjatuhkan kerajaan pilihan mereka. Satu kerajaan pintu belakang telah dihasilkan.

“Sejak itu politik negara menjadi tidak stabil kerana dengan mudah kerajaan boleh dijatuhkan tanpa pilihan raya. Hanya dengan lompatan beberapa wakil rakyat masuk parti yang kalah, parti yang ditolak oleh rakyat boleh jadi kerajaan," kata beliau lagi.

Katanya lagi, kerajaan pintu belakang ini mudah dijatuhkan, mereka berada dalam ketakutan dan kita lihat bagaimana kerajaan pintu belakang ini dijatuhkan melalui pintu belakang juga oleh orang yang sama.

Kata Dr Mahathir, peluang tersebut (pilihan raya) perlu diguna untuk menukar kerajaan dari yang gagal dan perasuah kepada parti yang bersih dan cekap yang dahulu melibatkan pemimpin yang memberi gelaran Harimau Asia (Asian Tiger) kepada Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Pejuang adalah pewaris parti menukar Malaysia dari negara pertanian yang miskin kepada negara separa maju.

“Pejuang menolak cara pintu belakang. Bagi Pejuang lebih baik tidak jadi kerajaan daripada menjadi kerajaan cara mengkhianati kawan,” ujar Dr Mahathir.

Katanya, Pejuang meletak calon-calon yang bersih walaupun usia muda dan bukan orang politik tetapi mempunyai semangat kebangsaan (Johor dan Malaysia) yang akan kembalikan Malaysia ke landasan mampu memaju dan membersih negara.

“Sokonglah Pejuang. Kembalikan demokrasi dan kebersihan hasil pilihan yang bijak,” katanya.


Ikuti perkembangan semasa #PRNJohor dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my