SuperKIP sertai SCK Honda Racing, kembali beraksi di pentas Cub Prix

Khairul Idham
Khairul Idham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelumba sukan permotoran negara, Khairul Idham Pawi sah akan kembali memberi saingan dalam perlumbaan kategori CP150 selepas menyertai pasukan SCK Honda Racing.

Khairul Idham, 24, dengan julukan SuperKIP akan membuat penampilan di pusingan pembukaan tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 12 dan 13 Mac ini.

Pengurus Pasukan SCK Honda Racing, Soong Wai Loon berkata, pihaknya telah menandatangani kontrak bersama SuperKIP bagi merangkul gelaran juara bagi edisi kali ini.

"Kemahiran dan pengalaman Khairul Idham di litar antarabangsa dalam masa singkat diharapkan memberi dorongan kepada pelumba-pelumba lain dalam pasukan sekali gus memberi peluang untuk memantapkan lagi prestasi mereka pada musim ini.

"Sebagai seorang pelumba profesional, kami mempunyai harapan yang tinggi terhadapnya. Walaupun ia adalah suatu cabaran baginya, kami yakin dengan pengalaman di litar antarabangsa dia mampu mengatasinya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Khairul Idham berjaya melakar nama di usia 17 tahun sebagai pelumba Asia Tenggara pertama apabila meraih kemenangan dalam perlumbaan Kejuaraan Dunia Moto3 di litar Argentina pada 2016. - Bernama

Artikel Berkaitan: