Litar drag pacu sukan pemotoran negara - Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan perlu menimbangkan semula cadangan pembinaan litar perlumbaan drag di setiap negeri kerana ia mampu memberi impak yang besar dalam sukan permotoran di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuan utama pembinaan litar drag menerusi peruntukan sebanyak RM20 juta adalah bagi memenuhi minat yang mendalam dalam kalangan belia di negara ini.

“Tujuan utama pembinaan litar drag adalah untuk menghindarkan golongan muda daripada terlibat dengan budaya tidak sihat seperti perlumbaan haram, samseng jalanan dan melepak dengan menyediakan tempat untuk mereka beriadah.

“Saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa pembinaan litar drag mempunyai impak yang besar dalam menarik lebih ramai tenaga pengajar profesional untuk melatih dan melahirkan bakat baharu tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Sukan permotoran mempunyai minat yang tinggi dalam kalangan belia dan jelas kelihatan sewaktu saya menghadiri Program RXZ Members 4.0 di Gong Badak pada tahun lepas dengan kehadiran puluhan ribu anak muda dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Selasa memaklumkan bahawa pembinaan litar itu memerlukan kos yang tinggi selain perlu mengambil kira beberapa faktor lain termasuk penyelenggaraan yang menelan perbelanjaan besar.

Justeru Ismail Sabri menjelaskan peruntukan sebanyak RM20 juta itu memadai sebagai dana awal melaksanakan program tersebut.

Katanya, sekiranya peruntukan tersebut tidak mencukupi seperti yang disebut oleh Hannah, jumlah tersebut boleh ditambah pada tahun berikutnya sehingga litar drag itu dapat dibina di seluruh negeri.

Beliau juga memahami walaupun Belanjawan 2023 telah dibentangkan tetapi tidak sempat dibahas dan diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia, namun dari segi kepentingan dan memenuhi aspirasi anak muda peruntukan sebanyak RM20 juta itu perlu diteruskan.

“Pihak kerajaan seharusnya melihat secara mendalam tujuan sebenar pembinaan litar drag ini dan bukannya mengambil keputusan untuk tidak meneruskannya dengan memberikan pelbagai alasan.

“Saya berharap Menteri Belia dan Sukan dapat turun padang dan melihat sendiri bagaimana litar drag sedia ada bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai sukan permotoran ini.

“Ini merupakan tanggungjawab bersama oleh semua pihak terutama KBS agar belia negara terus terpelihara daripada penyakit sosial yang semakin membimbangkan,” katanya.