Cub Prix gegar Jasin

Sebahagian petugas yang terlibat dengan Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia pada Sabtu dan Ahad. Gambar kecil: Yvonne
Sebahagian petugas yang terlibat dengan Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia pada Sabtu dan Ahad. Gambar kecil: Yvonne
A
A
A

BANDAR Jasin, Melaka bakal bergema minggu ini apabila kembali menjadi tuan rumah bagi Pusingan 3 Kejuaraan Petronas Cub Prix Malaysia pada 27 hingga 28 Mei.

Ia merupakan satu kebanggaan buat peminat sukan permotoran di bandar tersebut kerana perlumbaan motosikal tertua negara itu kembali ke negeri bandaraya bersejarah selepas kali terakhir menganjurkannya pada edisi 2018.

Bagi memastikan kejuaraan tersebut berlangsung meriah, pihak Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) telah mengadakan kerja-kerja promosi dengan kerjasama pihak penganjur pada minggu lalu agar perlumbaan itu mendapat sambutan hangat daripada para peminat tempatan.

Beberapa pekan utama di Melaka telah menjadi persinggahan untuk kerja-kerja mempromosikan kejuaraan tersebut termasuk mengajak para peminat sukan permotoran setempat supaya membanjiri pekan Jasin sepanjang dua hari perlumbaan berprestij itu.

Selain perlumbaan melibatkan tiga kelas utama iaitu kategori Wira, CP125 dan CP150 beberapa acara sampingan turut diadakan antaranya konvoi bermotosikal melibatkan 300 penunggang, gerai jualan serta khemah-khemah promosi para penaja kejuaraan.

Tarikan utama ialah jualan Happy Bag Cub Prix yang mendapat sambutan luar biasa daripada para penonton sejak ia mula diperkenalkan tahun 2019.

Jualan Happy Bag itu turut menawarkan cabutan bertuah dan sebuah motosikal sama ada Yamaha Y15ZR atau Honda RS-X menanti pemenang hadiah utama.

Happy Bag Cub Prix yang dijual pada harga istimewa RM65 mengandungi baju-T edisi terhad, minyak pelincir Petronas Sprinta, minuman bertenaga Ranger serta alat pemegang kunci.

Kandungan Happy Bag itu bernilai lebih RM80.

Setiap pembelian Happy Bag, para pembeli akan diberikan satu kupon untuk menyertai cabutan bertuah dan bagi mereka yang membeli dua mereka akan mendapat tiga kupon.

Selain hadiah utama, beberapa hadiah lain turut disediakan termasuk jaket, topi keledar dan alat-alat ganti motosikal yang nilainya mencecah ratusan ringgit.

Pengumuman pemenang cabutan bertuah itu akan diadakan pada Ahad jam 5 petang sejurus selesai perlumbaan terakhir bagi Pusingan 3 itu.

Menurut Pengurus Promosi dan Pemasaran Safe Aim Mutual Sdn Bhd, Yvonne Ng, Happy Bag yang mula diperkenalkan dua tahun lalu merupakan satu produk Cub Prix yang semakin popular dalam kalangan penonton dan harganya amat berbaloi kerana para pembeli akan mendapat barangan berkualiti tinggi.

“Nilai hadiah-hadiah yang ditawarkan kepada para pemenang cabutan bertuah juga mencecah ratusan ringgit dan kesemua produk berkenaan merupakan jenama besar dalam pasaran tempatan.

“Peluang untuk menang adalah sangat cerah. Jika gagal pada Pusingan 3 ini, para penonton boleh mencuba lagi di pusingan seterusnya kerana jualan Happy Bag sentiasa ada di setiap venue perlumbaan. Ada Cub Prix, pasti ada Happy Bag,” ujar

Yvonne.

Tambahnya, para penonton yang membeli Happy Bag pada Sabtu, mereka berpeluang untuk mendapatkan pass paddock bagi membolehkan mereka memasuk kawasan berkenaan.

Selain Happy Bag, turut dijual adalah cenderahati Cub Prix antaranya baju-T untuk kanak-kanak dan dewasa, payung, alat pemegang kunci dan tuala.