500 anggota Rela terjejas banjir di Kelantan

Asiah, (dua dari kiri) menerima bantuan makanan yang disampaikan oleh Mior Muhammad Taufik (tiga dari kanan). - Foto Sinar Harian.
Asiah, (dua dari kiri) menerima bantuan makanan yang disampaikan oleh Mior Muhammad Taufik (tiga dari kanan). - Foto Sinar Harian.
A
A
A

PASIR MAS - [DIKEMASKINI] Seramai 500 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kelantan terjejas akibat banjir yang melanda beberapa daerah di negeri tersebut, pada minggu lalu.

Pengarah Rela Kelantan, Mior Muhammad Taufik Mior Burhanuddin berkata, jumlah mereka yang terjejas itu adalah daripada keseluruhan 20,000 anggota Rela yang berdaftar dan aktif di Kelantan.

“500 anggota terjejas tersebut tinggal di kawasan pedalaman dan beberapa kampung di Kuala Krai, Tumpat, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

“Jumlah mereka yang terjejas banjir agak besar namun keadaan ini tidak menjejaskan penugasan Rela di lapangan kerana mereka tetap membantu mangsa banjir di kampung masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Sumbangan Pasca Banjir kepada 100 anggota Rela di Kampung Siput dan Kampung Kubang Pak Hitam di Meranti di sini, pada Khamis.

Kata beliau, semangat anggota Rela wajar dipuji kerana dalam keadaan diri sendiri mengalami bencana itu, mereka masih berkhidmat dan memberi bantuan kepada mangsa banjir yang lain.

“Misalnya satu kisah seorang anggota Rela menyelamatkan uniform miliknya dari ditenggelami banjir lalu memakainya dan bertugas membantu orang lain seperti biasa walaupun ketika itu rumahnya sendiri sedang dilanda bencana tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya dalam proses melaksanakan pemutihan anggota daripada 200,000 yang berdaftar dengan Rela Kelantan.

“Daripada 200,000 keseluruhan anggota Rela dalam rekod data, namun hanya 20,000 yang aktif dan jumlah itu sudah lebih daripada mencukupi untuk pelaksanaan pelbagai tugasan termasuk semasa pandemik Covid-19 dan banjir selain seperti majlis kenduri kahwin serta keraian.

Artikel Berkaitan:

“Pemutihan ini termasuk membuang nama anggota yang sudah meninggal dunia antaranya akibat Covid-19 dan akan mengutamakan mereka yang aktif dalam tempoh lima tahun ini untuk dikekalkan dalam pasukan,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga dimakan di Pohon Tanjung, Asiah Awang, 48, berkata, dia memilih untuk menyertai Rela kerana mahu berkhidmat kepada masyarakat.

“Rumah saya di Kampung Binjai juga ditenggelami banjir. Namun saya gembira kerana dapat membantu orang lain walaupun saya sendiri menjadi mangsa banjir," kata ibu tunggal yang mempunyai empat anak itu.