Perintah berkurung di perairan ESSZone dilanjutkan

Idris
Idris
A
A
A

TAWAU - Pelaksanaan perintah berkurung membabitkan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang bermula 24 Februari lalu dan berakhir Jumaat, dilanjutkan sehingga 26 Mac ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan serta Beluran.

"Penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dikehendaki berada di rumah, manakala orang luar tidak dibenarkan memasuki (atau berada) di kawasan tersebut dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, perintah berkurung itu diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terlibat tidak diceroboh pengganas sekali gus mengancam keselamatan penduduk termasuk penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan serta pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

"Maklumat mendapati, kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk dapatkan tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf, masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan serta lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya lagi.

Idris berkata, perintah berkurung itu juga, akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada penduduk maritim, dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua Ketua Polis Daerah di ESSzone diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak, bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak lain untuk melalui kawasan perintah berkurung itu.

- Bernama

Artikel Berkaitan: