Penjawat awam rugi RM126,588 diperdaya Macau Scam

Superintenden Elias Omar
Superintenden Elias Omar
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang penjawat awam kerugian sebanyak RM126,588 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, wanita berusia 38 tahun itu menerima panggilan daripada individu tidak dikenali memperkenalkan diri daripada LHDN Cyberjaya.

Menurut beliau, suspek memaklumkan terdapat sebuah syarikat bernama HRC Global didaftarkan atas nama mangsa dan memiliki tunggakan cukai sebanyak RM36,600.90, namun perkara ini dinafikan wanita terbabit.

“Seterusnya, suspek dihubungi oleh individu menyamar sebagai polis memaklumkan mangsa turut terlibat dalam kes penggubahan wang haram dan penyeludupan dadah.

“Mangsa juga menafikan dakwaan ini, namun diarahkan untuk membuat semakan melalui pautan yang diberikan kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas beliau, mangsa telah menekan pautan yang diterima dan telah mengisi butiran diri serta akaun bank iaitu akaun Tabung Haji dan Bank Islam miliknya.

“Pada keesokan harinya, mangsa telah menerima mesej daripada Bank Islam memaklumkan terdapat transaksi pindahan wang daripada akaun Bank Islam miliknya berjumlah RM38,800,” katanya.

Tambah beliau, mangsa turut membuat semakan akaun Tabung Haji miliknya dan mendapati terdapat transaksi pemindahan wang berjumlah RM87,788.

Artikel Berkaitan:

Elias memberitahu, jumlah kerugian mangsa dianggarkan sebanyak RM126,588 dan wanita itu membuat laporan polis di Balai Polis Alor Setar pada Rabu selepas menyedari terpedaya dalam urusan penipuan tersebut.

"Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu).

"Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan sebarang panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai LHDN dan polis," katanya.