Hanya kerana namaku 'Senyum'

Senyum menunjukkan kad pengenalannya.
Senyum menunjukkan kad pengenalannya.
A
A
A

SEREMBAN - Hanya kerana namanya 'Senyum', seorang warga emas pernah meminta ibu bapanya menukar nama lain kerana tidak tahan sering diejek rakan-rakan.

Itu cerita dikongsi pemilik nama Senyum Ujang, 70, berkenaan namanya yang disifatkan lain dari yang lain.

"Saya pernah bergaduh dengan kawan kerana tidak tahan mereka mengejek nama saya. Balik dari sekolah saya beritahu emak nak tukar nama.

"Tapi itu cerita berpuluh tahun dulu dan sekarang saya dah tak rasa apa-apa lagi, malah saya rasa unik kerana nama saya Senyum," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Manggis baru-baru ini.

Menurut Senyum, namanya diberi oleh arwah moyangnya yang merupakan seorang bidan.

Bagaimana pun katanya, tidak dapat dipastikan kenapa nama itu dipilih kerana enam adik beradik lain diberi nama biasa.

"Dengan nama inilah saya paling mudah diingati. Dulu saya bekerja sebagai juruhebah di lapangan terbang Kuantan dan Johor Bahru, waktu itu saya perlu memakai lencana senyum berserta tanda nama.

"Yang kelakarnya ada yang ingatkan saya saja-saja pakai tanda nama Senyum dan biasanya bila ada yang banyak sangat tanya, saya terus tunjukkan kad pengenalan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Senyum berkata, situasi itu terus berlaku sehingga sekarang kebiasaannya ketika mahu mengisi borang, namun ia sudah dianggap biasa.

Katanya, ada juga yang beranggapan Senyum sekadar nama samarannya.

"Ada macam-macam cerita hanya disebabkan nama saya Senyum.

"Kalau saya tiba-tiba serius, ada juga yang mengusik kenapa saya terlalu serius sedangkan nama saya Senyum," katanya.