Ahmad Zahid nafi pilih Mohd Puad jadi MB Johor

Ahmad Zahid (tengah) sama Soon Hai (kiri) dan Pandak selepas program ramah mesra bersama pengundi DUN Kota Iskandar di bilik gerakan Parlimen Iskandar Puteri, pada Sabtu.
Ahmad Zahid (tengah) sama Soon Hai (kiri) dan Pandak selepas program ramah mesra bersama pengundi DUN Kota Iskandar di bilik gerakan Parlimen Iskandar Puteri, pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan akan melantik calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai menteri besar jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengenainya bertujuan melaga-lagakan beliau dengan pemimpin UMNO di Johor.

"Ada seorang ketua penerangan sebuah parti mengatakan saya memberi dokongan kepada calon DUN Rengit untuk jadi menteri besar. Eh, orang itu mimpi ke?

"Kita tahu bahawa kuasa melantik menteri besar itu di bawah kuasa Tuanku (Sultan Johor) tetapi jangan lagakan saya kononnya saya mahukan Dr Mohd Puad. Jangan lagakan saya, kononnya saya nak orang itu nak orang ini," katanya ketika berucap dalam program ramah mesra bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar di bilik gerakan Parlimen Iskandar Puteri, Gelang Patah, pada Rabu.

Hadir sama, calon bagi kerusi DUN Skudai, Lim Soon Hai dan calon DUN Kota Iskandar, Pandak Ahmad.

Pada Jumaat, Wan Saiful dalam Facebook miliknya mendakwa, Ahmad Zahid mahu meletakkan calonnya sendiri iaitu Mohd Puad sebagai Menteri Besar Johor jika BN menang PRN berkenaan dan berjaya membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menjelaskan, BN tetap memilih Datuk Hasni Mohammad seperti yang sudah dipersetujui kerana prestasi ditunjukkan beliau sebelum ini semasa menjadi Menteri Besar Johor.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, hanya dalam tempoh singkat menjadi Menteri Besar Johor Hasni sudah melakukan banyak transformasi di negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurut Ahmad Zahid lagi, persetujuan untuk melantik Hasni bukan keputusan beliau seorang tetapi sudah dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan biro politik UMNO negeri sebelum dipersetujui secara sebulat suara.

Katanya, tidak seperti parti atau gabungan politik lain yang sehingga kini tidak berani menamakan calon Menteri Besar Johor mereka.

"Nak tanya sebelah sana, siapa 'poster boy'? Siapa calon MB? Perikatan Nasional (PN) ke, Pakatan Harapan (PH) ke? Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) ke? Parti Ikatan Relawan Demokratik (Muda) ke?

"Walaupun Muda tetapi calon paling muda dalam PRN Johor adalah dari BN, parti paling tua yang meletakkan calon paling muda iaitu berusia 26 tahun. Mereka (Muda) tidak ada calon (paling muda seperti ditampilkan BN)," katanya.