Terengganu sambut baik fasa peralihan endemik

Pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini dijangka dapat memulihkan industri pelancongan di Terengganu. - Gambar kecil: Ahmad Samsuri
Pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini dijangka dapat memulihkan industri pelancongan di Terengganu. - Gambar kecil: Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu berharap pembukaan sempadan negara pada 1 April nanti akan memulihkan industri pelancongan sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Terengganu sebagai sebuah negeri pelancongan yang menerima hampir lima juta pelancong pada setiap tahun sentiasa menantikan pengumuman pembukaan sempadan negara oleh kerajaan.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut menyambut baik fasa peralihan negara ke endemik bermula 1 April sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa.

“Peralihan ke fasa endemik merupakan detik yang sangat dinantikan oleh umat Islam apabila tiada lagi penjarakan sosial dalam aktiviti solat jemaah di masjid atau surau.

“Insya-ALLAH, untuk negeri Terengganu pengumuman rasmi akan dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Ahmad Samsuri berkata, pengumuman peralihan endemik merupakan suatu manifestasi kejayaan daripada kerja keras yang dilakukan oleh kerajaan dengan kerjasama rakyat dalam tempoh dua tahun ini.

Menurut beliau, pemansuhan had kapasiti 50 peratus aktiviti perkumpulan ramai akan merancakkan lagi pelbagai aktiviti keagamaan, pendidikan, pelancongan, kebudayaan, sukan dan lain-lain aktiviti yang menonjolkan identiti Terengganu.

Ahmad Samsuri bagaimanapun berharap rakyat tetap mematuhi amalan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka di tempat awam dan pendaftaran masuk ke premis menggunakan MySejahtera walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga menyeru terutamanya kepada rakyat Terengganu agar kekal menjaga kesihatan diri dan keluarga serta sentiasa peka dengan arahan semasa kerajaan,” katanya.