‘Doakan suami saya cepat sembuh’

Bayah di sisi suaminya sewaktu menjalani pembedahan di sebuah hospital kerajaan pada Februari lalu.
Bayah di sisi suaminya sewaktu menjalani pembedahan di sebuah hospital kerajaan pada Februari lalu.
A
A
A

KLANG - “ Sumbangan saya tak perlu sangat. cukuplah doakan suami saya sembuh dan sihat seperti sedia kala,” luah Bayah Sayyeng, 42.

Bayah berkata, dia kini hilang tempat bergantung selepas suaminya, Sopian Mohamad, 45, lumpuh separuh badan akibat terjatuh ketika menuruni tangga di pangsapuri didiaminya pada Jun lalu.

Menurutnya, pelbagai ikhtiar dilakukan bagi mengubati suaminya termasuk berurut dan pembedahan di sebuah hospital kerajaan pada Februari lalu, namun keadaan suaminya masih tidak berubah.

“Doktor tidak ada cakap sama ada suami akan sembuh seperti sedia kala atau tidak, cuma kita ikhtiar dan selepas ini kena jalani fisioterapi.

“Memang rasa terbeban tapi nak buat macam mana kita kena reda. Saya susah tapi masih ramai yang lebih susah daripada saya,” katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Bayah berkata, selain perlu menguruskan suami, dia juga perlu bekerja di sebuah kolam ikan secara separuh masa bagi menampung perbelanjaan keluarga.

“Sejak suami sakit dan tidak boleh bekerja, kami hilang pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan. Dengan gaji saya lebih kurang RM1,000 digunakan untuk belanja dapur serta persekolahan anak tunggal kami yang kini berada di Tingkatan Empat.

“Sebelum ini saya kerja tetap di sana tetapi disebabkan perlu mengurus suami, saya kerja separuh masa. Kalau nak berhenti tiada pendapatan pula,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bayah bagaimanapun berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah ke rumahnya baru-baru ini bagi menyalurkan bantuan awal sebanyak RM300.

“Buat masa ini kami masih mampu bertahan. Harap suami dapat sihat seperti sediakala dan kami dapat jalani kehidupan normal,” katanya.