Tiga kejadian pokok tumbang dalam tempoh 72 minit di Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Tiga kejadian pokok tumbang dilaporkan di sekitar Pulau Pinang dalam tempoh 72 minit pada Rabu, dengan satu daripadanya menghempap sebuah kereta di kawasan Astaka Hillside, Tanjung Bungah.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam ketiga-tiga kejadian yang berlaku di Penaga, Tanjung Bungah dan Ayer Itam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian pertama dilaporkan pada jam 5.40 petang di Jalan Permatang Rawa, Penaga.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Muda yang tiba di lokasi mendapati sebatang pokok tumbang menghempap tiang elektrik serta merintangi jalan.
“Komander operasi kemudian menjalankan penilaian di lokasi sebelum mengarahkan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) melaksanakan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan dahan pokok,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, selepas kerja pembersihan selesai, lokasi kejadian diserahkan kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk tindakan lanjut.
Operasi di lokasi itu ditamatkan pada jam 7.01 malam.
Sementara itu, John berkata, kejadian kedua berlaku pada jam 6.12 petang di Astaka Hillside, Jalan Tanjung Bungah apabila sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta Nissan Sentra.
“Pasukan dari BBP Bagan Jermal yang tiba di lokasi mengesahkan kejadian berkenaan dan mendapati tiada mangsa terlibat.
“Komander operasi kemudian mengarahkan PKO yang lengkap dengan PPE menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan dahan pokok tumbang dengan bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.
Beliau berkata, operasi di lokasi tersebut berjaya diselesaikan sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 6.59 petang.
Dalam kejadian ketiga, sebatang pokok dilaporkan tumbang pada jam 6.52 petang di Jalan Paya Terubong menghala ke Relau, Ayer Itam.

“Pasukan dari BBP Paya Terubong yang tiba di lokasi mendapati pokok berkenaan menghempap tiang elektrik selain menghalang laluan jalan raya.
“Komander operasi kemudian mengarahkan PKO yang lengkap dengan PPE melaksanakan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan bagi memastikan laluan dapat digunakan semula dengan selamat,” katanya.
John berkata, lokasi tersebut kemudiannya diserahkan kepada MBSP dan TNB untuk tindakan susulan.
“Operasi pembersihan di lokasi ketiga berjaya diselesaikan dan ditamatkan pada jam 8.05 malam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

