Sila log masuk terlebih dahulu.

Banjir tak kira musim, perlu sentiasa bersedia

Keadaan kenderaan orang awam yang ditenggelami air akibat banjir kilat susulan hujan lebat petang Isnin. Foto Bernama
Keadaan kenderaan orang awam yang ditenggelami air akibat banjir kilat susulan hujan lebat petang Isnin. Foto Bernama
A
A
A

BANJIR kilat yang melanda ibu negara pada Isnin menunjukkan kita perlu sentiasa berwaspada kerana musim banjir kini tidak lagi berlaku pada Disember dan Januari.

Banjir tersebut berlaku selepas hujan lebat sejak jam 3 petang menyebabkan beberapa jalan utama mula dinaiki air sehingga ada kereta tenggelam.

Difahamkan, bacaan hujan yang tinggi direkodkan di Stesen Taman Desa Smart, dengan bacaan 106.5 milimeter (mm) dan 155mm di Stesen Air Panas dalam tempoh dua jam.

Merak Jalanan sarankan orang ramai melakukan persediaan dengan mendapatkan maklumat tentang banjir di kediaman atau tempat kerja.

Jika di rumah perkara yang perlu diperiksa adalah lubang air seperti longkang, kita perlu bersihkan supaya tiada halangan air.

Selain itu, perlu juga tahu di mana pusat pemindahan dan pusat bantuan bencana di kawasan anda.

Perkara paling penting adalah menyediakan peralatan kecemasan dan bekalan makanan secukupnya yang perlu diletak dalam kereta dan rumah.

Semasa banjir jika kita berada di dalam kenderaan, jangan terus mengharungi kawasan banjir, hendaklah berpatah balik ke tempat yang selamat.

Artikel Berkaitan:

Jika kenderaan anda terhenti, kunci serta tinggalkan kenderaan tersebut dan pergilah ke tempat yang selamat.

Merak Jalanan juga sarankan kerajaan memberi amaran lebih awal jika hujan lebat berlaku di ibu kota, ini penting untuk elak kenderaan ditenggelami air di parkir kereta.

Agak sukar bagi individu yang bekerja di bangunan tinggi untuk menyelamatkan kenderaan jika hanya sedar banjir berlaku pada saat akhir.

Pendek kata, jika anda bersedia awal dan boleh ramal banjir kilat akan berlaku, musibah ini dapat dikurangkan impaknya.

Jangan jadi seperti Merak Jalanan yang main redah saja air banjir demi selamatkan kereta. Ingatlah nyawa kita lebih berharga.