NGO Islam bimbang perundangan syariah terpinggir

Noor hakimi (empat dari kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Maik di Bangunan Wan Mat Saman, Alor Setar pada Selasa.
Noor hakimi (empat dari kanan) menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Maik di Bangunan Wan Mat Saman, Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Badan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyerahkan memorandum kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah (Maik) berhubung kebimbangan dan cadangan mendepani cabaran perundangan syariah hari ini

Pengerusi Pembela Kedah, Noor Hakimi Ab Halim berkata, NGO dan umat Islam sebagai kaum majoriti berasa dukacita dengan perkembangan dan beberapa keputusan penghakiman di mahkamah yang dilihat tidak memihak kepada Islam sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, biarpun sejarah perundangan asal negeri-negeri jelas mengangkat perundangan syarak, namun ia seolah-olah tidak mendapat tempat sewajarnya selain dilihat asing dalam perundangan negara sejak kebelakangan ini.

"Kami memohon agar majlis agama Islam negeri-negeri dapat memainkan peranan aktif menyembah maklum kepada Sultan sebagai ketua agama agar dapat mengambil tindakan sewajarnya.

"Memorandum yang diserahkan ini juga terdapat beberapa cadangan untuk menambah baik atau meminda undang-undang sama ada perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah negeri agar tiada lagi cabaran atau kekurangan pada masa hadapan.

"Perundangan dan kehakiman tidak mesra syariah, sedangkan undang-undang Islam bermula zaman dahulu lagi dan penjajah tidak berani sentuh perundangan Islam," katanya pada Sinar Harian pada petang Selasa.

Beliau berkata demikian selepas wakil NGO-NGO Islam lain menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Pejabat Maik di Bangunan Wan Mat Saman, Alor Setar.

Mengulas lanjut, Noor Hakimi berkata, Pembela dan NGO Islam lain tampil untuk menyuarakan kebimbangan selepas melihat banyak keputusan yang diputuskan oleh hakim tidak memihak kepada kepentingan agama Islam termasuk keputusan tiga beradik diserahkan hak penjagaan kepada ibunya.

Artikel Berkaitan:

"Kita kaji banyak kes yang kita kalah. kita kalah lepas satu...satu. Mungkin orang tidak nampak kekalahan yang kena pada kita (umat Islam)," ujarnya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memerintahkan tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.

Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini juga dilaporkan mengesahkan bahawa tiga kanak-kanak berumur antara 10 hingga 14 tahun itu telah memeluk Islam.

Siew Hong bagaimanapun telah membuat laporan polis bagi meminta memulangkan anaknya yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Siew Hong mendakwa telah berpisah dengan bekas suaminya, M Nagahswaran yang berbangsa India sejak Mac 2019 dan kemudiannya berpisah daripada anak-anaknya.