Kementerian Wilayah Persekutuan teliti semula sistem amaran banjir

Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Pasir, Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada Isnin.
Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Pasir, Pantai Dalam, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan akan meneliti keperluan menaik taraf sistem amaran awal banjir sedia ada bagi memastikan orang awam mendapat maklumat lebih pantas berhubung bencana itu sekali gus berpeluang menyelamatkan nyawa dan harta benda.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pengurusan tertinggi kementerian akan mengadakan perbincangan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah untuk tujuan itu.

"Bagaimanapun, sistem itu tidak boleh menjamin daripada banjir tidak berlaku. Maka kita perlukan pendekatan lain yakni kemungkinan kita harus fikir soal program-program tebatan banjir atau soal melibatkan sistem aliran air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan mengejut ke kawasan tanah runtuh susulan hujan lebat semalam di Seksyen 6, Wangsa Maju, di sini pada Selasa.

Menurut Jalaluddin, beliau sendiri sedang meneliti projek sistem perparitan yang lebih tersusun di Kuala Lumpur serta akan menugaskan satu jawatankuasa untuk membincangkan pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan bencana banjir kilat tidak berulang.

"Walaupun banjir adalah satu malapetaka atau bencana, tetapi bagi pihak kerajaan terutamanya DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) bukanlah satu perkara yang tidak ada usaha atau langkah yang boleh kita buat," katanya.

Dalam pada itu, ketika disoal mengenai kolam tadahan air di Kampung Pasir Baru yang dikatakan tidak berfungsi sehingga menyebabkan air banjir naik terlalu cepat, beliau berkata, DBKL diarahkan untuk membaiki kerosakan di kemudahan itu dalam tempoh sebulan.

Jalaluddin yang melawat kolam itu pada Isnin berkata, kerosakan sejak setahun lepas itu tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan dan beliau kini menunggu laporan daripada DBKL.

Artikel Berkaitan:

Enam kawasan di pusat bandar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat dan dinaiki air susulan hujan lebih sejam petang Isnin manakala tiga kejadian tanah runtuh berlaku termasuk di Wangsa Maju. - Bernama