Tahanan rumah Najib: Majlis Peguam digesa tidak teruskan semakan kehakiman – Wan Rosdy

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN – Majlis Peguam digesa supaya tidak meneruskan tindakan semakan kehakiman berhubung keputusan Lembaga Pengampunan berkaitan pelaksanaan tahanan di rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, langkah tersebut boleh mencetuskan polemik dan menjejaskan penghormatan terhadap institusi diraja.

Menurutnya, permohonan pengampunan Najib telah melalui proses serta pertimbangan pihak berautoriti, termasuk Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong dan mendapat perkenan diraja, justeru sewajarnya dihormati semua pihak.

"Alhamdulillah, saya melahirkan rasa syukur apabila Najib diberikan peluang menjalani baki tempoh hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi kaedah tahanan di rumah, selaras dengan keputusan pengampunan diraja.

"Kita perlu memahami bahawa permohonan pengampunan merupakan hak yang diperuntukkan kepada setiap individu yang sedang menjalani hukuman.

"Dalam pada itu, saya kesal dengan tindakan Majlis Peguam yang memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar prosiding dan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan pelaksanaan tahanan di rumah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau turut membidas hantaran bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua di media sosial yang dilihat memperlekehkan keputusan Lembaga Pengampunan dan menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya menggesa pihak berkuasa menyiasat hantaran tersebut secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya didapati berlaku pelanggaran undang-undang.

"Perlu ditegaskan bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mempunyai kedudukan serta peranan yang jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan," tegas beliau.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekehkan institusi diraja atau memainkan sentimen berkaitan institusi diraja, kaum dan agama (3R) sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara.

"Hormatilah prerogatif diraja, peliharalah kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu dan pertahankan keluhuran perlembagaan," katanya

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!