Semua PPS di Perak ditutup

Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak, Teluk Intan merupakan PPS terakhir ditutup

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir sejak Isnin lalu ditutup sepenuhnya pada Selasa.

PPS di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak, Teluk Intan menjadi PPS terakhir ditutup pada jam 3 petang selepas PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Tanjung Malim ditutup pada jam 8.30 pagi pada hari yang sama.

Pegawai Daerah Hilir Perak, Saidi Shaari berkata, penutupan PPS di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak, Teluk Intan itu diputuskan selepas meneliti keadaan di kawasan berlaku bencana banjir beransur baik.

Menurutnya, keadaan itu juga membolehkan semua mangsa kembali ke rumah masing-masing selepas ditempatkan di PPS tersebut sejak Isnin.

"Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, penghulu, individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan semua pihak yang bertungkus-lumus terlibat membantu dan menyelaras selia PPS dengan terbaik sepanjang ia beroperasi," katanya menerusi pesanan WhatsApp yang dikongsikan pada Selasa.

Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak, Teluk Intan sebelum ini menempatkan seramai 18 mangsa banjir di Kampung Batu 7 1/2, Lorong Mesra, mukim Changkat Jong susulan air naik ke kawasan kediaman penduduk pada Isnin.

Kejadian banjir di Perak yang berlaku pada Isnin membabitkan 186 mangsa melibatkan dua mukim iaitu Hulu Bernam, Tanjung Malim dan Changkat Jong, Teluk Intan.

Artikel Berkaitan: