16 lokasi bazar Ramadan di MBSJ

Johary (dua dari kanan) melawat reurai disediakan selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan di Dewan Serbaguna MBSJ pada Selasa.
Johary (dua dari kanan) melawat reurai disediakan selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan di Dewan Serbaguna MBSJ pada Selasa.
A
A
A

PUCHONG - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) memutuskan 16 lokasi bazar Ramadan di dalam kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu beroperasi sempena Ramadan pada tahun ini.

Datuk Bandar MBSJ, Datuk Johary Anuar berkata, lokasi berkenaan adalah di USJ 1, Pinggiran USJ, USJ 4, USJ 7, SS19, Batu 3 Shah Alam, Putra Heights bagi zon Subang Jaya dan Bandar Kinrara 5 bagi zon Kinrara.

Menurutnya, lapan lagi lokasi adalah di Taman Seri Serdang, Taman Equine dan Taman Puncak Jalil bagi zon Serdang Seri Kembangan serta Taman Puchong Perdana, Taman Puchong Prima, Dataran Niaga Puchong Permai, Taman Puchong Utama dan Bandar Bukit Puchong bagi zon Puchong.

"Pada tahun ini, sebanyak tujuh lokasi ditambah menjadikan jumlah keseluruhan 16 lokasi bazar Ramadan dengan penyediaan 1,251 petak.

"Bagi petak kosong, pihak MBSJ menjangkakan akan ada rayuan daripada peniaga di saat akhir dan kesemua bazar diuruskan sepenuhnya oleh MBSJ tanpa melantik mana-mana badan lain.

"Setakat ini MBSJ telah meluluskan permohonan daripada 764 peniaga dan kesemua mereka telah berjaya dalam proses permohonan yang dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian," katanya.

Johary (tengah) bersama peserta dan penaja sempena Karnival Bazar Ramadan
Johary (tengah) bersama peserta dan penaja sempena Karnival Bazar Ramadan

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Bazar Ramadan di Dewan Serbaguna MBSJ Puchong di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai karnival berkenaan, Johary berkata, pelbagai pengisian program dijalankan sepanjang tiga hari karnival berkenaan berlangsung bermula Selasa.

"Antaranya, taklimat bagi pematuhan kepada peraturan, pengendalian makanan terbaik dan efektif, amalan kitar semula, pengurusan sisa dan penggunaan sumber yang cekap serta amalan terbaik ke arah usahawan berjaya.

"Platform ini turut digunakan bagi memperkenalkan syarat-syarat berniaga di bazar Ramadan, termasuk arahan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu dan pendedahan urus niaga secara dalam talian tanpa tunai," katanya.

Beliau turut memaklumkan, MBSJ juga menjadi PBT pertama di Selangor bekerjasama di dalam membangunkan e-Bazar Ramadan melalui platform e-Dapur Selangor Digital E-Supply Chain (SELDEC).

SELDEC merupakan inisiatif kerajaan Selangor dalam pembangunan platform perniagaan secara dalam talian bagi membantu meningkatkan pendapatan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), peniaga dan pembekal dalam aktiviti perniagaan pelbagai di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020.