Cuti kuarantin jaga anak beri kelegaan kepada penjawat awam

Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan penambahbaikan kemudahan cuti kuarantin kepada penjawat awam untuk menjaga anak yang dikuarantin atau memerlukan pengasingan disebabkan penyakit berjangkit.

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, langkah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang tidak mengkhususkan penyakit Covid-19 tetapi menggunakan terma 'lain-lain penyakit berjangkit' juga menunjukkan kesiapsiagaan kerajaan menghadapi situasi di luar jangka pada masa hadapan tanpa perlu mengeluarkan pekeliling baharu sekiranya muncul wabak berjangkit lain.

“Usaha ini diharap dapat memberi kelegaan kepada penjawat awam yang terkesan dengan penularan Covid-19.

“Ia juga mengurangkan risiko berlakunya penutupan operasi perkhidmatan awam disebabkan penularan Covid-19 dalam kalangan staf yang pada akhirnya hanya menyusahkan rakyat.

“Kita tidak mahu kakitangan yang mempunyai anak kecil menghidap Covid-19 terpaksa datang ke pejabat walaupun mereka kontak rapat dan perlu menjaga anak tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, ketua jabatan juga perlu mengambil maklum mengenai pekeliling baharu itu dan membuat pertimbangan rasional jika ada kakitangan yang memohon cuti kuarantin berkenaan.

Menurutnya, pertimbangan juga perlu diberikan bagi kemudahan bekerja dari rumah sekiranya kakitangan terbabit boleh melaksanakan kerja di rumah.

“Permudahkan urusan dan jangan terlalu mengamalkan birokrasi yang berlebihan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa sama, Cuepacs berharap penjawat awam tidak mengambil kesempatan untuk menggunakan cuti kuarantin ini bagi tujuan yang tidak sepatutnya.

“Harus diingatkan bahawa penjawat awam merupakan barisan hadapan negara dalam memastikan pemulihan ekonomi dapat berjalan dengan lancar,” jelas beliau.