Mangsa maut kemalangan tidak sabar tunggu kelahiran anak pertama

Gambar kenangan antara Muhammad Khairul Azwan bersama Shukina. (Gambar kecil: Suriyana)
Gambar kenangan antara Muhammad Khairul Azwan bersama Shukina. (Gambar kecil: Suriyana)
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang mangsa yang maut dalam kemalangan membabitkan sembilan motosikal dan sebuah lori di Kilometer 92.8 Lebuh Raya Utara-Selatan Arah Selatan di Bedong, Sungai Petani pada Isnin tidak sabar menanti kelahiran anak pertama.

Mangsa, Muhammad Khairul Azwan Maula Hashim, 31, yang juga seorang pemandu lori dalam perjalanan ke tempat kerja di Bukit Minyak, Pulau Pinang maut dalam kemalangan pada jam 2.40 petang itu.

Isteri mangsa, Suriyana Abdul Razak, 26, berkata, suaminya juga merancang untuk membeli kelengkapan bayi setelah pulang dari bekerja pada hujung minggu ini.

"Kami bernikah pada Oktober lalu dan usia kandungan saya sekarang sudah masuk lima bulan. Suami memang orang yang paling gembira menanti kelahiran anak kami.

"Dia kerap bercerita tentang perkembangan bayi kepada ibunya (Shukina Sharif, 56)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Siam, Alor Janggus di sini pada Selasa.

Menurutnya, suaminya itu baru sahaja bekerja sebagai pemandu lori pada awal bulan ini selepas lebih dua tahun bekerja di Langkawi.

"Semalam (Isnin) dia tidak menunjukkan sebarang perubahan tetapi sempat datang ke tempat kerja saya dan kami keluar makan bersama sebelum dia bergerak ke tempat kerjanya di Bukit Minyak.

"Saya langsung tidak tahu mengenai kemalangan terbabit sehinggalah menerima panggilan daripada Balai Polis Alor Janggus memaklumkan suami meninggal dunia dalam kemalangan kira-kira jam 7 petang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Shukina berkata, Muhammad Khairul Azwan merupakan anak yang manja dan sangat rapat dengannya.

"Dia sangat bertanggungjawab dan menjadi pelindung saya dan isteri selain tidak pernah lupa menghulurkan duit belanja buat saya," katanya.

Shukina memberitahu, lazimnya Muhammad Khairul Azwan menggunakan kereta api untuk berulang alik ke tempat kerja namun tidak berbuat demikian pada hari kejadian.

"Saya sudah beberapa kali melarangnya menunggang motosikal ke tempat kerja kerana cuaca tidak begitu baik kebelakangan ini.

" Tetapi dia tetap bertegas hendak menunggang motosikal dengan alasan lebih mudah untuk pulang sekiranya berlaku kecemasan di rumah," katanya.

Shukina menambah, proses bedah siasat masih dilakukan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kubang Siam di sini selepas semua urusan selesai.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dalam kejadian terbabit dua individu maut akibat kecederaan parah di kepala manakala enam lagi penunggang motosikal yang berteduh di bawah jejambat cedera selepas dirempuh sebuah lori.

Selain Muhammad Khairul Azwan, seorang lagi penunggang motosikal yang maut ialah Mohd. Amirul Ismail, 28, dari Kampung Seberang Chegar, Anak Bukit.

Kesemua sembilan buah motosikal berada di lokasi kejadian kerana berteduh daripada hujan lebat dan tidak mengenali antara satu sama lain.