Salur hampir RM2 juta kepada 54 koperasi kariah masjid sejak 2016

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah menyumbang bantuan sebanyak RM1.90 juta kepada 54 koperasi kariah masjid di seluruh negara bagi tempoh 2016 hingga Mac tahun ini, demikian menurut Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

Menerusi kenyataan pada Selasa, MEDAC berkata, daripada jumlah tersebut, sektor pemborongan dan peruncitan merupakan sektor yang mendapat bantuan tertinggi bagi tempoh tersebut iaitu RM615,625.

"Koperasi kariah masjid memainkan peranan besar bagi menangani isu kos sara hidup melalui penglibatan koperasi dalam aktiviti peruncitan, pemborongan serta pertanian.

"Hasil dan pulangan dari aktiviti ini dapat memberi manfaat kepada ahli koperasi kariah sama ada melalui jualan barangan pada harga yang berpatutan atau pemberian dividen serta pengwujudan tabung kebajikan seperti pendidikan dan khairat kematian,” menurut kenyataan itu.

Menurut MEDAC, pihaknya menyasarkan peningkatan koperasi kariah masjid sebanyak 10 peratus daripada 6,514 masjid di seluruh negara.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Koperasi Malaysia, terdapat 462 koperasi kariah masjid didaftarkan melibatkan penyertaan 38,000 ahli.

"Ia melibatkan jumlah aset melebihi RM29 juta dengan nilai perolehan sebanyak RM9.53 juta pada 2021,” kata kementerian itu.

Bantuan kerajaan terhadap koperasi kariah masjid selaras dengan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TransKom) 2021-2025 yang dilancarkan pada 30 Mac lepas yang merupakan inisiatif dan bantuan yang dikhususkan kepada koperasi kariah.

Artikel Berkaitan:

MEDAC turut mengalu-alukan mana-mana koperasi kariah masjid yang baru ditubuhkan agar mendapatkan bantuan di bawah Koperasi Prihatin Rakyat yang menawarkan bantuan sehingga RM100,000. - Bernama